بسم الله الرحمن الرحيم


Surah Ibrahim : 5-8 – Syukur&Sabar.
June 6, 2008, 4:20 am
Filed under: Fi Zilal al-Quran

Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Musa membawa ayat-ayat Kami (dan berfirman) : “Keluarkanlah kaummu dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya yang terang dan ingatkan mereka dengan (peristiwa-peristiwa) hari-hari Allah (yang bersejarah). Sesungguhnya dalam peristiwa-peristiwa itu terdapat bukti-bukti (pengajaran) untuk setiap orang yang banyak bersabar dan bersyukur.”

(Ibrahim : 5)

Ungkapan ayat ini menyamakan di antara bunyi perintah yang dikeluarkan kepada Nabi Musa as dengan bunyi perintah yang dikeluarkan kepada Muhammad saw untuk disesuaikan dengan cara penyampaian di dalam surah ini. Bunyi perintah itu ialah :

… supaya engkau mengeluarkan manusia dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya yang terang …”

(Ibrahim : 1)

Dan bunyi perintah disini pula ialah :

… Keluarkanlah kaummu dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya yang terang …”

(Ibrahim : 5)

Perintah pertama mencakup seluruh manusia, sedangkan perintah yang kedua hanya mencakup kaum Musa sahaja, tetapi matlamatnya sama sahaja.

… dan ingatkan mereka dengan (peristiwa-peristiwa) hari-hari Allah (yang bersejarah).”

(Ibrahim : 5)

Sebenarnya seluruh hari itu adalah hari-hari Allah belaka, tetapi yang dimaksudkan di sini ialah mengingatkan mereka dengan hari-hari yang dipandang manusia atau kelompok mereka sebagai peristiwa-peristiwa besar yang luar biasa, sama ada yang membawa nikmat atau membawa kemurkaan Allah, iaitu peristiwa-peristiwa hari-hari mereka yang bersejarah, juga peristiwa-peristiwa hari-hari yang bersejarah kepada kaum-kaum Nuh, ‘Ad, Tsamud dan kaum-kaum selepas mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan hari-hari Allah itu.

… Sesungguhnya dalam peristiwa-peristiwa itu terdapat bukti-bukti (pengajaran) untuk setiap orang yang banyak bersabar dan bersyukur.”

(Ibrahim : 5)

Di antara hari-hari yang bersejarah itu ada hari kesusahan dan ianya merupakan hari bukti pengajaran kepada kesabaran, dan ada pula hari kesenangan dan ia merupakan hari bukti pengajaran kepada kesyukuran. Orang yang banyak bersabar dan bersyukur itu ialah orang-orang yang dapat memahami bukti-bukti pengajaran ini dan hikmat-hikmat di sebaliknya, serta menjadikannya contoh teladan di samping menjadikannya sebagai hiburan dan peringatan.

Nabi Musa as berjuang menunaikan tugas kerasulan dan mengingatkan kaumnya :

Dan (kenangilah) ketika Musa berkata kepada kaumnya : “Kenangilah nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu ketika Dia menyelamatkan kamu dari kuncu-kuncu Firaun yang menyeksa kamu dengan seksa yang teruk. Mereka banyak menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan anak-anak perempuan kamu hidup. Peristiwa-peristiwa itu merupakan ujian yang besar dari Tuhan kamu.”

(Ibrahim : 6)

Beliau mengingatkan mereka terhadap nikmat-nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada mereka, iaitu nikmat keselamatan dari keseksaan dan penindasan yang diterima mereka dari kuncu-kuncu Firaun. Mereka berturut-turut dan bertubi-tubi diazab oleh Firaun tanpa henti. Di antara penyeksaan itu ialah anak-anak lelaki mereka dibunih dan hanya anak-anak perempuan sahaja yang dibenarkan hidup dengan tujuan untuk melemahkan kekuatan pertahanan mereka dan mengekalkan kelemahan dan kehinaan mereka. Lalu Allah menyelamatkan mereka dari penindasan ini sebagai satu nikmat yang patut dikenang oleh mereka untuk bersyukur kepada Allah.

… Peristiwa-peristiwa itu merupakan ujian yang besar dari Tuhan kamu.”

(Ibrahim : 6)

Pertama ujian dengan penyeksaan dan penindasan untuk menduga kesabaran, ketabahan, daya ketahanan dan keazaman untuk menyelamatkan diri dan bertindak ke arah itu. Kesabaran bukannya dengan kesanggupan menanggung kehinaan dan penindasan sahaja. Kesabaran yang sebenar ialah kesanggupan menanggung penyeksaan tanpa patah semangat dan tanpa kekalahan jiwa dan kesanggupan untuk terus berjuang menyelamatkan diri dan bersedia untuk menentang kezaliman dan kekejaman. Sikap menyerah diri kepada penghinaan itu bukanlah merupakan sifat kesabaran yang dipuji.

Yang kedua ialah ujian dengan keselamatan untuk menduga kesyukuran dan pengakuan terhadap nikmat Allah. Juga untuk menduga kejujuran mematuhi hidayat sebagai balasan terhadap nikmat keselamatan.

Nabi Musa as berusaha memberikan penjelasan kepada kaumnya selepas beliau mengingatkan mereka dengan peristiwa-peristiwa hari-hari mereka yang bersejarah. Beliau menunjukkan kepada mereka matlamat ujian dengan penyeksaan dan matlamat ujian dengan keselamatan itu, iaitu untuk menduga kesabaran menanggung penyeksaan dan menduga kesyukuran terhadap nikmat keselamatan.

Beliau selanjutnya menjelaskan kepada kaumnya balasan-balasan yang telah diatur oleh Allah terhadap kesyukuran dan kekufuran mereka :

Dan (kenangilah) ketika Tuhan kamu mengumumkan : “Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan menambahkan lagi nikmat kepada kamu dan jika kamu kufur maka sesungguhnya azabKu amat pedih.”

(Ibrahim : 7)

Marilah kita berhenti sejenak di hadapan hakikat yang besar ini, iaitu hakikat bertambahnya nikmat Allah apabila disyukuri dan hakikat balasan azab yang dahsyat terhadap kekufuran nikmat.

Dari awal lagi hari kita merasa tenang dan tenteram sebaik sahaja kita berhenti di hadapan hakikat ini, kerana ia adalah janji Allah dan janji Allah akan terlaksana biar bagaimana sekalipun. Apabila kita hendak melihat bukti kebenaran janji ini dalam kehidupan kita dan menyelidiki sebab-sebabnya, maka ia tidaklah begitu jauh dari kita.

Kesyukuran terhadap nikmat Allah itu merupakan bukti adanya kejujuran neraca pertimbangan di dalam hati manusia. Sesuatu yang baik itu disyukuri kerana kesyukuran merupakan suatu balasan yang tabi’i mengikut fitrah yang lurus.

Ini satu alasan dan alasan yang lain ialah hati yang bersyukur kepada Allah kerana nikmat yang dikurniakannya itu sentiasa bermuraqabah dengan Allah apabila menggunakan nikmat itu tanpa takbur dan berlagak angkuh terhadap orang lain dan tanpa menggunakan nikmat itu untuk tujuan melakukan penindasan, kejahatan dan tindakan-tindakan yang kotor atau pun perbuatan-perbuatan yang merosakkan.

Kedua-dua alasan ini dapat membersihkan hati manusia dengan mendorongkannya ke arah amalan yang soleh, ke arah penggunaan nikmat dengan cara-cara yang baik yang dapat menyubur dan menambahkan keberkatan nikmat itu. Ia membuat orang ramai berpuas hati dengan nikmat itu dan berpuas hati terhadap tuan yang menikmatinya dan membuat mereka suka membantunya.

Ini menambahkan lagi kebaikan hubungan di dalam masyarakat dan menambahkan kekayaan-kekayaannya secara aman dan sebagainya dari sebab kebaikan tabi’i yang ternampak kepada kita dalam kehidupan ini. Walaubagaimanapun, namun janji Allah itu sudah cukup untuk menimbulkan keyakinan dan ketenteraman dalam hati orang yang beriman sama ada ia dapat memahami sebab itu atau tidak, kerana janji itu tetap akan ditepati kerana ia adalah janji Allah.

Kekufuran terhadap nikmat Allah kadang-kadang berlaku dengan perbuatan tidak mensyukurinya atau dengan mengingkari Allah sebagai Pengurnianya atau dengan menghubungkan pencapaian nikmat itu kepada ilmu kepandaian, pengalaman, kerja keras dan usaha peribadi seseorang seolah-olah tenaga-tenaga itu bukannya salah satu nikmat dari nikmat-nikmat Allah.

Begitu juga kekufuran terhadap nikmat Allah itu kadang-kadang berlaku dengan perbuatan menyalahgunakan nikmat-nikmat itu sendiri, iaitu ia digunakan untuk maksud menunjukkan keangkuhan dan kesombongan terhadap orang lain atau maksud memuaskan hawa nafsu yang liar dan melakukan perbuatan-perbuatan yang merosakkan masyarakat. Semuanya itu merupakan perbuatan-perbuatan mengingkari nikmat-nikmat Allah.

Azab seksa Allah yang berat itu kadang-kadang berlaku dalam bentuk penghapusan nikmat itu sendiri atau penghapusan kesan-kesan yang baik di dalam perasaan seseorang. Berapa banyak nikmat bertukar menjadi bala yang menyusahkan seseorang dan menimbulkan hasad dengki orang-orang yang tidak mendapat nikmat itu.

Kadang-kadang azab seksa itu ditangguhkan ke suatu masa tertentu di dunia atau di Akhirat sebagaimana yang dikehendaki Allah, tetapi ia akan tetap menimpa mereka kerana perbuatan mengingkari nikmat Allah adalah satu kesalahan yang tidak akan terlepas tanpa balasan.

Tetapi faedah kesyukuran itu tidak kembali kepada Allah dan kesan kekufuran itu juga tidak menjejaskan Allah kerana Allah itu Maha Kaya dan Maha Terpuji dengan zatNya, bukannya kerana Dia dipuji dan disyukuri manusia terhadap limpah kurniaNya.

Dan ujar Musa : “Jika kamu dan sekalian orang-orang yang ada di bumi mengingkari (nikmat-nikmat Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan Maha Terpuji.”

( Ibrahim :8 )

Sebenarnya kebaikan kehidupan dunia akan tercapai apabila manusia mensyukuri nikmat Allah dan hari manusia akan menjadi bersih dengan sebab ia bertawajjuh kepada Allah dan menjadi jujur dengan sebab ia mensyukuri segala kebaikan, dan seterusnya menjadi tenang dan tenteram kerana terjalinnya hubungan yang mesra dengan Allah yang telah menganugerahkan nikmat-nikmat itu. Mereka tidak merasa takut dan bimbang kehilangan mikmat dan tidak merasa menyesal dan kecewa kerana perbelanjaan-perbelanjaan yang telah dikorbankan mereka atau kerana kehilangan sebahagian dari nikmat-nikmat itu, kerana Allah pemberi nikmat itu tetap wujud dan nikmat-nikmat itu akan tetap bertambah apabila mereka mensyukurinya.


Leave a Comment so far
Leave a comment



Leave a comment