بسم الله الرحمن الرحيم


Surah Aali-Imran : 159 – Lemah lembut (i).
August 11, 2008, 1:04 am
Filed under: Fi Zilal al-Quran

159 – “Maka dengan berkat rahmat Allah engkau telah bersikap lemah lembut terhadap mereka dan andainya engkau bersikap kasar dan keras hati tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, pohonlah keampunan untuk mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan. Dan apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah kasihkan orang-orang yang bertawakkal.”

Ayat-ayat ini ditujukan kepada Rasulullah saw ketika beliau merasa di dalam hatinya sedikit perasaan terkilan terhadap kaum Muslimin. Mereka mula-mula begitu ghairah dan bersemangat untuk keluar berperang kemudian barisan mereka berpecah dan satu pertiga dari angkatan tentera yang keluar untuk berperang tiba-tiba berpatah balik sebelum berkalu peperangan.

Kemudian mereka melanggar perintah beliau apabila mereka lemah di hadapan godaan harta rampasan perang.

Kemudian mereka berpatah semangat apabila mendengar khabar angin bahawa beliau saw mati terbunuh dan mereka terus mengundurkan diri menderita kekalahan. Mereka meninggalkan Rasulullah saw terpencil dalam sekumpulan kecil dan membiarkan beliau mendapat kecederaan diserang musuh, sedangkan beliau saw berjuang dengan tabah dan menyeru mereka di belakang mereka yang sedang melarikan diri tanpa menoleh kepada sesiapa pun.

Ayat-ayat ini ditujukan kepada Rasulullah saw untuk menghiburkan hatinya juga ditujukan kepada kaum Muslimin untuk menyedarkan mereka terhadap nikmat Allah yang dikurniakan kepada mereka.

Ayat-ayat ini mengingatkan beliau juga mengingatkan mereka terhadap rahmat Allah yang wujud dalam pada Akhlak beliau saw yang mulia dan penuh timbang rasa dan dapat memadukan hati Muslimin sekelilingnya.

Tujuan peringatan ini untuk menggerakkan perasaan kasih sayang dan timbang rasa yang tersembunyi di dalam lubuk hatinya agar mengatasi perasaan terkilan yang dialaminya akibat tindak-tanduk yang telah dilakukan mereka, juga agar mereka benar-benar merasa hakikat nikmat Ilahi yang mengurniakan nabi yang pengasih dan bertimbang rasa kepada mereka.

Kemudian ayat ini menyeri beliau saw supaya memaafkan mereka dan memohon keampunan kepada mereka serta menyuruh beliau terus bermesyuarat dengan mereka seperti biasa dalam segala urusan mereka tanpa terpengaruh kepada natijah-natijah yang buruk yang diterima di dalam peperangan itu dan tanpa terdorong kepada membatalkan dasar syura yang asasi dalam kehidupan Islamiyah itu.

159 – “Maka dengan berkat rahmat Allah engkau telah bersikap lemah lembut terhadap mereka dan andainya engkau bersikap kasar dan keras hati tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu … ”

Itulah rahmat Allah yang telah merangkumi beliau dan merangkumi mereka. Rahmat inilah yang telah menjadikan Rasulullah saw seorang yang amat bertimbang rasa dan lemah lembut terhadap mereka. Andainya beliau seorang yang bengis dan berhati keras tentulah orang ramai Islam tidak dapat bermesra dan berpadu perasaan di sekeliling beliau.

Mereka memerlukan kepada naungan yang penuh kasih sayang, ri’ayah (penjagaan) yang baik, senyum manis yang melapangkan dada, kemesraan yang dapat merangkumi mereka dan kesabaran yang dapat memaafkan kejahilan dan kelemahan mereka. Mereka memerlukan kepada sebuah hati yang besar yang sentiasa memberi kepada mereka dan tidak berkehendak apa-apa pemberian dari mereka, hati yang besar yang sanggup memikul masalah-masalah yang menyusahkan mereka, sedangkan segala yang menyusahkannya saw tidak pula menyusahkan mereka. Mereka sentiasa memperoleh darinya saw perhatian yang berat, ri’ayah, simpati, toleransi, kasih sayang dan kerelaan.

Demikian sifat hati Rasulullah saw dan demikianlah cara hidup beliau dengan orang ramai. Beliau saw tidak pernah marah kerana kepentingan dirinya, tidak pernah merasa bosan dengan kelemahan-kelemahan manusia, tidak pernah menyimpan untuk dirinya sesuatu dari harta benda kehidupan dunia, malah segala apa yang dimiliki diberikankepada mereka dengan penuh kemurahan hati, kesabaran, kebaikan, timbang rasa dan kasih sayangnya sentiasa merangkumi mereka. Tiada siapa yang bergaul dengannya saw atau melihatnya, melainkan hatinya dipenuhi kasih sayang kerana terpengaruh dengan limpahan jiwa beliau saw yang besar yang dicurahkan beliau ke atasnya.

Semua ini adalah rahmat Allah swt terhadap beliau saw dan umatnya. Al-Quran mengingatkan rahmat ini kepada mereka dalam suasana peperangan ini untuk menerangkan peraturan yang dikehendaki Allah swt untuk umat Muslimin.


Leave a Comment so far
Leave a comment



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: