بسم الله الرحمن الرحيم


Manusia – Malaikat – Syaitan – Binatang.
July 14, 2008, 6:40 am
Filed under: Dakwah dan Tarbiah

Manusia adalah satu makhluk yang istimewa. Padanya terdapat sedikit sifat malaikat, sedikit sifat syaitan dan sedikit sifat binatang.

Apabila dia tenggelam di dalam ibadat, hatinya suci bersih ketika bermunajat kepada Allah dan merasai kemanisan iman. Ketika itu sifat malaikat sudah menguasai dirinya. Dia menjadi seperti malaikat yang tidak melakukan maksiat kepada Allah dan melaksanakan segala perintahNya.

Apabila dia mengingkari PenciptaNya, kufur atau menyekutukan Tuhannya dengan sesuatu yang lain di dalam ibadat, ketika itu sifat syaitan telah menguasai dirinya.

Apabila dia dikuasai oleh kemarahan, maka emosi dan darahnya menggelegak serta otot-ototnya mula tegang, kemahuannya hanyalah mahu mendapatkan musuhnya. Kalau dapat, dia akan menggigitnya, menyiat-nyiat kulitnya dengan kuku, mencekik lehernya, dia akan mencekiknya sehingga musuhnya itu tidak bermaya. Jika sifat buas ini menguasai dirinya, tiada lagi perbezaan besar antaranya dengan harimau.

Apabila dia dikuasai perasaan lapar atau dahaga, harapannya hanya makanan yang memenuhi perutnya dan air yang boleh menghilangkan dahaga.

Begitu juga jika dirinya dikuasai nafsu sex, perasaannya mengejolak, fikirannya dipenuhi dengan khayalan kenikmatan, ketika itu dia telah dikuasai oleh sifat kebinatangan. Dia telah menjadi seperti lembu atau kuda jantan ataupun binatang-binatang lain.

Inilah hakikat manusia. Dia mempunyai persediaan untuk kebaikan dan kejahatan. Allah menunjukkan kepadanya kedua-dua jalan tersebut dan mengurniakan akal yang boleh membezakan di antara keduanya serta kemahuan (iradah) yang boleh melaksanakan pilihannya. Jika dia bijak menggunakan akal dan kemahuan, persediaannya untuk kebaikan akan subur sehingga ia menjadi sifat kebiasaannya. Pada Hari Akhirat pula, dia termasuk di kalangan orang-orang bahagia. Jika tidak, dia termasuk di kalangan orang-orang celaka.

Memanglah jiwa diciptakan bebas dan agama pula membelenggu, tetapi kawalan ini satu kemestian. Jika kita membiarkannya bebas melakukan kejahatan mengikut hawa nafsu, masyarakat akan menjadi porak poranda. Ini kerana kebebasan mutlak hanyalah untuk orang-orang gila.

Orang gila melakukan semua perkara yang terlintas di fikirannya, berjalan di jalan raya tanpa pakaian dan menaiki kenderaan awam di sebelah pemandu. Kalau dia tertarik kepada pakaian anda, dia akan mengambilnya walaupun pakaian itu berada di atas bahu anda. Jika dia berkenan dengan anak dara anda, dia akan memintanya dengan alasan mencintainya, bukan dengan Syariat Islam.

Orang gila ialah orang yang mempunyai kebebasan mutlak.

Orang yang berakal pula ialah orang yang kebebasannya dikawal oleh akal.

Jadi, apakah akal itu?

Ia adalah ikatan. Lafaznya sendiri diambil dari perkataan Iqal yang bermakna tali pengikat unta. Hikmat pula mempunyai makna yang hampir sama dengan perkataan ‘penambatan binatang”, ia juga satu ikatan. Kemajuan (Hadharah) juga adalah ikatan kerana ia tidak membiarkan anda melakukan apa sahaja, malah ia mewajibkan anda menjaga hak-hak manusia dan adab resam masyarakat. Keadilan juga adalah ikatan kerana ia membataskan kebebasan anda.

Kemudian, maksiat pula satu keseronokan kerana selari dengan tabiat nafsu. Anda merasa seronok bile mendengar atau menyertai perbuatan mengumpat. Ini kerana ia membuatkan anda merasakan bahawa diri anda adalah jauh lebih baik daripada orang yang diumpat. Mencuri juga satu keseronokan kerana dapat memiliki harta tanpa penat lelah. Zina juga satu kelazatan kerana dapat melepaskan keinginan hawa nafsu. Penipuan dalam peperiksaan juga seronok kerana anda akan berjaya tanpa memerah tenaga. Tidak menunaikan kewajiban juga seronok kerana anda boleh berehat dan bermalas-malas.

Tetapi apabila manusia berfikir dan menggunakan akalnya, dia akan mendapati bahawa kebebasan sementara ini sedikitpun tidak dapat menyamai akibat selepasnya iaitu terkurung di dalam neraka jahanam dalam tempoh yang berpanjangan. Ini adalah kelazatan haram yang secebispun tidak dapat menandingi azab yang menantinya.

Siapakah yang bersetuju memeterikan perjanjian dengan kita (perjanjian yang dicatat dan disaksikan) selama setahun untuk kita memberikannya apa saja harta yang dia minta sepanjang tempoh tersebut, kita juga akan memberikannya istana mana yang dia mahu tinggal, negara mana yang ia pilih, wanita mana yang mahu dikahwini; dua tiga atau empat orang, sekalipun dia talak seorang setiap pagi dan berkahwin lagi sebagai gantinya pada setiap petang, kita juga tidak akan menghalang apa sahaja yang dia mahu. Te/tapi selepas berlalunya setahun, kita akan menggantungnya di tali gantung sehingga mati?

Tidakkah dia akan berkata : “Celakalah kelazatan setahun yang diikuti oleh kematian selepasnya.”? Tidakkan tergambar di fikirannya waktu dia digantung, tidak ada satupun kelazatan tadi yang bersamanya, sedangkan kesakitan di tali gantung hanyalah beberapa minit, manakala azab akhirat berpanjangan?

Tiada seorangpun di kalangan kita yang tidak pernah melakukan maksiat sepanjang hidupnya dan tidak pernah merasai kelazatan melakukannya. Sekurang-kurangnya dia pernah walaupun sekali, mengutamakan kehangatan katil dari bangun menunaikan solat subuh. Apakah keseronokan yang pernah kita rasai sepuluh tahun dahulu masih berbaki pada hari ini?

Tidak ada seorang pun di kalangan kita yang tidak memaksa dirinya untuk menunaikan ketaatan dan tidak menanggung keperitan dalam menunaikannya. Sekurang-kurangnya rasa lapar dan dahaga pada bulan Ramadhan. Apakah keperitan lapar dan dahaga pada bulan Ramadhan sepuluh tahun lalu masih dirasai oleh jiwa kita pada hari ini?

Jawapannya tidak, walaupun sedikit.

Kelazatan maksiat telah hilang, yang tinggal hanyalah balasan buruknya. Keperitan taat juga telah berlalu, yang tinggal hanyalah balasan pahalanya.

Di saat kematian, apakah kelazatan yang pernah kita kecapi dan keperitan yang pernah kita alami yang masih lagi dapat dirasai di saat itu?


Leave a Comment so far
Leave a comment



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: