بسم الله الرحمن الرحيم


Dakwah yang baik tapi …
June 24, 2008, 11:49 pm
Filed under: Dakwah dan Tarbiah

Inilah makna firman Allah :

“Dan kami tunjukkan kepadanya dua jalan.”

(al-Balad : 12)

Allah mengadakan para penyeru yang menyeru dan menunjukkan manusia ke jalan syurga. Mereka adalah para anbiya. Begitu juga di jalan nereka. Terdapat para penyeru yang menyeru dan mendorong ke arahnya. Mereka adalah syaitan-syaitan.

Allah menjadikan ulama sebagai pewaris nabi-nabi. Fatimah binti Muhammad tidak mewarisi harta benda dan tanah daripada baginda. Para ulama pula mewarisi dakwah ini daripada baginda. Hanya orang yang melaksanakan dakwah ini dengan sebenar-benarnya sahaja yang layak mendapat penghormatan warisan ini.

Dakwah ini sukar, kerana nafsu manusia sudah dicipta condong kepada kebebasan, sedangkan agama mengawalnya. Nafsu suka mengejar kelazatan sedangkan agama membataskannya.

Sesiapa yang menyeru kepada kejahatan dan maksiat bermakna dia bersetuju dengan dengan tabiat nafsunya. Dengan itu dia berjalan bersama nafsunya seperti air yang menglir turun ke tanah rendah.

Dakilah bukit untuk mendapatkan tangki air atasnya. Tebuklah dengan kapak, nescaya air akan mencurah turun sedangkan kamu berdiri melihat air tersebut memasuki kawasan wadi.

Tetapi, jika kamu ingin mengembalikannya semula ke tempat asal, ia tidak akan kembali melainkan dengan menggunakan pengepam air, dan berbagai kesukaran dan perbelanjaan besar.

Begitu juga dengan batu besar yang ada di puncak bukit. Mudah saja untuk ditolak sehingga ia bergolek jatuh ke bawah. Ia turun tanpa perlu penat lelah. Tetapi kalau anda mahu mengembalikannya ke tempat asal, anda akan berhadapan dengan kepenatan dan kesukaran.

Ini adalah perbandingan manusia.

Teman jahat anda akan berkata : “Di sini ada wanita cantik yang menari dalam keadaan tidak berbaju.” Nafsu anda akan cenderung kepadanya dan menolak anda untuk menurutinya, dan seribu syaitan akan mengheret anda. Anda tidak akan sedar melainkan ketika sudah berada disisinya. Apabila anda didatangi oleh seseorang yang memberi peringatan untuk memalingkan anda daripada wanita tersebut, anda akan begitu sukar untuk menyahut dan melawan keinginan hawa nafsu anda.

Para penyeru kejahatan tidak kepenatan dan tidak mengeluarkan tenaga. Tetapi penyeru kebaikan dan pemberi peringatan tidak begitu. Mereka perlu berpenat dan memerah nafsu. Penyeru kejahatan memiliki semua perkara yang disukai nafsu seperti aurat terdedah, keinginan haram dan setiap perkara yang menyeronokkan mata, telinga, hati dan jasad. Manakala penyeru kebaikan pula, mereka hanya memiliki “tegahan”.

Anda melihat seorang gadis cantik yang mendedahkan aurat. Anda akan tertarik untuk melihat tempat-tempat menarik pada tubuhnya. Penyeru kebaikan akan berkata : “Tutuplah pandangan kamu dan jangan memandang ke arahnya.”

Seorang peniaga mendapati keuntungan mudah dikaut melalui amalan riba tanpa penat lelah dan merasa seronok dengannya. Penyeru kebaikan akan berkata kepadanya : “Tinggalkan perbuatan itu dan jangan meminta bantuannya.”

Seorang pegawai melihat kawannya menerima rasuah dalam masa seminit yang menyami gajinya selama enam bulan. Dia mula membayangkan kalau dia juga berbuat demikian, nescaya dia akan memperoleh kesenangan dan memenuhi keperluan hidupnya. Penyeru kebaikan akan berkata : “Kamu jangan ambil dan berseronok dengannya.”

Penyeru kebaikan akan berkata kepada mereka : “Tinggalkanlah keseronokkan yang dikecapi sekarang supaya kamu mendapat kelazatan yang akan datang yang kamu tidak nampak. Tinggalkanlah apa yang kamu sedang lihat dan dengar untuk mendapatkan apa yang kamu tidak melihat dan mendengarnya sekarang … lawanlah kehendak hawa nafsu dan keinginan hatimu. Kesemua itu amat berat ke atas jiwa. Kita tidak boleh menolak hakikat ini kerana agama sendiri menyifatkannya sebagai berat. Allah sendiri telah menamakannya dengan berat di dalam al-Quran :

“Kami akan mencampakkan kepada kamu perkataan yang berat.”

(al-Muzammil : 5)

Setiap perkara baik sangat sukar untuk diterima oleh nafsu. Pelajar yang meninggalkan TV kerana mengulangkaji pelajaran, ahli ilmu yang meninggalkan majlis hiburan kerana sibuk dengan pembacaan dan pengkajian, orang yang sedang tidur meninggalkan katilnya untuk menunaikan solat Subuh, begitu juga dengan seorang lelaki yang meninggalkan anak isterinya kerana menyahut seruan jihad, semua itu amatlah berat.

Oleh kerana itu, kita dapati orang-orang jahat lebih ramai daripada orang-orang soleh. Mereka yang tenggelam di dalam kesesatan lebih ramai daripada mereka yang berzikir dan mengikuti jalan kebenaran. Kerana itu, mengikuti golongan majoriti tanpa penglihatan dan petunjuk, kebiasaannya akan menyesatkan pelakunya. Firman Allah :

“Dan jika sekiranya kamu mentaati kebanyakkan mereka yang berada di atas muka bumi ini, mereka akan menyesat kamu dari jalan Allah.”

(al-An’am : 116)


Leave a Comment so far
Leave a comment



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: