بسم الله الرحمن الرحيم


Arba’iin : Hadis 41 – Hawa Nafsu.
June 6, 2008, 4:27 am
Filed under: Hadis

“Daripada Abu Muhammad Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas r.a daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda; “Tidak beriman seseorang daripada kalangan kamu sehingga hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa.”

Hadis ini adalah hadis hasan sahih, kami telah menyebutnya di dalam Kitab al-Hujjah dengan isnad yang sahih.

***

Orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya tidak berani melakukan maksiat dan apabila dia melakukannya di bawah tekanan kelemahannya sebagai manusia, maka perasaan takutnya kepada Allah itu akan membawanya kepada penyesalan, kepada memohon keampunan dan bertaubat, dan kerana itu dia tetap berada dalam lingkungan taat.

Pencegahan diri dari keinginan hawa nafsu merupakan tiang seri ketaatan. Keinginan hawa nafsu merupakan pendorong yang kuat kepada tindak tanduk yang melampau dan kepada perbuatan-perbuatan maksuat. Ia menjadi punca segala bala bencana dan punca segala kejahatan. Jarang manusia binasa kecuali sebab nafsu. Kejahilan mudah diubati, tetapi penyakit mengikut hawa nafsu selepas berilmu merupakan penyakit jiwa yang memerlukan mujahadah yang bersunguh-sungguh dan memerlukan masa yang lama untuk mengubatinya.

Firman Allah :

Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, Maka Syurga itulah tempat kediamannya.”

(an-Naziat : 40-41)

Perasaan takut kepada Allah merupakan dinding yang teguh yang mencegah keinginan-keinginan nafsu yang kuat, tetapi dinding-dinding yang lain jarang dapat mencegah rempuhan hawa nafsu. Kerana itulah kedua-duanya dikumpulkan dalam satu ayat. Yang bercakap disini ialah Allah Pencipta jiwa manusia, kerana itu Dialah yang Maha Tahu tentang penyakit jiwa dan ubatnya. Dialah yang Maha Mengetahui segala lorong dan liku-likunya, Dialah yang Maha Mengetahui dimana tersembunyinya keinginan-keinginan hawa nafsu, dan apakah pula ubatnya dan bagaimana hendak mengusir dan memburu hawa nafsu itu dari tempat-tempat persembunyiannya.

Allah tidak mentaklifkan manusia supaya mempastikan keinginan hawa nafsu itu tidak bersemarah di dalam jiwanya kerana Allah tahu bahawa tindakan itu adalah diluar kemampuan manusia. Oleh itu, Allah hanya mentaklifkan manusia supaya melarang, mencegah dan memegang tali pacunya serta mencari pertolongan dari perasaan takut kepada kebesaran Allah yang Maha Agung. Allah menetapkan balasan Syurga kepada setiap orang yang berjihad melawan hawa nafsunya.

Ini ialah kerana Allah mengetahui kesulitan dan kehebatan jihad itu, juga mengetahui nilai jihad itu dalam mengasuh, mendidik, membetul dan meningkatkan jiwa manusia ke maqam yang tinggi.

Manusia itu menjadi manusia dengan sebab kesanggupannya mencegah hawa nafsunya, dengan sebab jihadnya dan dengan sebab peningkatan jiwanya. Dia bukan manusia apabila dia membiarkan dirinya dipermainkan hawa nafsunya dan apabila dia mentaati dorongan-dorongan nafsunya hingga ke dasarnya yang dalam dengan alasan nafsu itu telah ditanam di dalam tabiat semula jadinya. Allah yang menciptakan dalam jiwa manusia kesediaan untuk mengikut dorongan nafsu, Dialah juga yang menciptakan kesediaan untuk mengendali, mencegah dan membebaskan diri dari nafsunya. Dan Allah telah memperuntukkan balasan dan kediaman Syurga kepadanya apabila dia berjaya mengalahkan nafsunya dan meningkatkan dirinya.

Kebebasan insaniyah yang melayakkan seseorang menerima penghormatan dari Allah ialah kebebasan mengalahkan hawa nafsu dan kebebasan dari belenggu-belenggu hawa nafsu dan kebolehan mengendalikannya dengan saksama serta mengukuh kebiasaan membuat pilihan penilaian ala manusia.

Kebebasan haiwaniyah ialah kekalahan di hadapan hawa nafsu dan perhambaan seseorang kepada dorongan nafsunya, dan keterlucutan tali pacu nafsu dari kawalan kehendak dan kemahuannya. Kebebasan haiwaniyah adalah kebebasan yang diperjuangkan oleh makhluk yang tewas kemanusiaannya atau manusia hamba yang memakai baju merdeka yang indah.

Manusia pertama yang dapat mengawal nafsunya berjaya meningkatkan diri dan menyiapkannya untuk memasuki kehidupan yang luhur dalam Syurga, sementara manusia kedua yang tidak dapat mengawal nafsunya itulah manusia yang jatuh dan bersedia untuk kehidupan yang rendah dalam Neraka dan menjadi kayu bakarnya bersama batu-batu. Itulah kesudahan-kesudahan yang wajar dalam pertimbangan neraca Allah yang menilaikan hakikat segala sesuatu.


Leave a Comment so far
Leave a comment



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: