بسم الله الرحمن الرحيم


Surah an-Nisa : 85-86 – Salam.
June 1, 2008, 5:03 am
Filed under: Fi Zilal al-Quran

“Dan sesiapa yang memberi bantuan yang baik nescaya dia akan memperolehi habuan pahala dariNya dan sesiapa yang memberi bantuan yang jahat nescaya dia akan memperolehi habuan dosa dariNya. Dan Allah Maha berkuasa di atas segala sesuatu.”

(an-Nisa : 85)

Sesuai dengan pemberangsangan Rasulullah saw yang mengajak orang-orang mukmin berperang setelah perintah perang disebut pada akhir pelajaran dan setelah gerakan melambat-lambatkan diri dan tindakan mematahkan semangat perjuangan disebut di permulaannya – maka al-Quran di dalam ayat berikut menjelaskan dasar umum memberi bantuan, yang meliputi semua kegiatan memberi bimbingan, nasihat dan tolong menolong.

Maksudnya orang yang memberi galakan, memberi perangang dan memberi bantuan kepada peperangan kerana Sabilullah, maka dia akan memperolehi habuan pahala dari seruan jihad ini dan kesan-kesannya. Sebaliknya orang yang melambat-lambatkan diri dan mematahkan semangat perjuangan orang lain akan dipertanggungjawabkan terhadap akibat dan kesan-kesannya. Kata-kata “Kiflun” (habuan dosa) menyarankan bahawa dia menanggung dosa-dosanya.

Dasar ini meliputi seluruh bantuan kebajikan atau bantuan kejahatan. Dasar umum ini disebut di sini kerana sesuatu kejadian yang khusus mengikut cara al-Quran yang biasa mengemukakan sesuatu dasar umum di celah-celah sesuatu peristiwa yang khusus dan mengikatkan satu kejadian yang telah berlaku dengan dasar umum kemudian menghubungkan seluruh perkara itu kepada Allah yang mengurniakan segala sesuatu rezeki atau mengurniakan kudrat kuasa di atas segala sesuatu. Inilah maksud dari kata-kata ”Muqita” dalam kata-kata ulasan berikut :

”… Dan Allah Maha berkuasa di atas segala sesuatu.”

(an-Nisa : 85)

Setelah menyebut persoalan memberi bantuan, ayat-ayat berikut mengemukakan perintah supaya membalas ucapan salam dengan ungkapan yang lebih baik atau sama dengannya. Ucapan salam dalam masyarakat Islam merupakan tali penghubung di antara tali-tali penghubung yang memudahkan roda kehidupan apabila diikuti abadcara-adabcaranya yang wajib. Disini ada pertalian yang rapat di dalam suasa masyarakat Islam di antara ucapan salam dengan perkhidmatan memberi bantuan yang telah diarahkan sebelum ini :

”Dan apabila kamu diberi ucapan salam maka balaskanlah dengan ucapan yang lebih baik darinya atau balaskanlah dengan ucapan yang sama dengannya dan sesungguhnya Allah amat mengira terhadap segala sesuatu.”

(an-Nisa : 86)

Islam telah membawa satu ucapan salamnya yang tersendiri yang membezakan masyarakat Islam dari masyarakat-masyarakat lain, iaitu ucapan salam ini telah menjadikan setiap ciri masyarakat Islam – termasuk ciri-ciri harian yang biasa – itu unik, tersendiri dan tidak larut dan hilang dalam ciri-ciri masyarakat yang lain.

Islam menjadikan ucapan salamnya ”Assalamu ’alaikum” atau ”Assalamu ’alaikum wa rohmatullah” atau ”Assalamu ’alaikum wa rohmatullah wa barokatuh” dan menetapkan balasan dengan ungkapan yang lebih baik dengan membuat tambahan di atas ucapan-ucapan yang dikemukakan oleh seseorang kecuali ucapan salam yang ketiga dikekalkan tanpa tambahan. Ungkapan balas bagi ucapan salam yang pertama ialah ”Wa ‘alaikumus-salam wa rohamtullah”. Ungkapan balas bagi ucapan salam yang kedua ialah ”Wa ‘alaikumus-salam wa rohamtullah wa barokatuh”. Ungkapan balas bagi ucapan salam yang ketiga ialah ”Wa ‘alaikumus-salam wa rohamtullah wa barokatuh” juga kerana ucapan ini sudah sempurna dan tidak memerlukan tokok tambah lagi. Ia dijawab dengan ungkapan yang sama. Demikianlah yang diriwayatkan dari Nabi saw.

Marilah kita berhenti sejenak memikirkan sentuhan-sentuhan yang terkandung di dalam ayat ucapan salam ini.

Sentuhan pertama mengenai ciri yang tersendiri yang mahu diterapkan oleh sistem hidup Islam ke atas masyarakat Islam agar ia mempunyai ciri-ciri dan tradisi-tradisi yang tersendiri di samping mempunyai undang-undang dan peraturan yang tersendiri. Hal ini telah dihuraikan dengan terperinci ketika memperkatakan persoalan peralihan kiblat, di mana dinyatakan bahawa kelompok Muslimin berbeza dari kelompok-kelompok yang lain dengan kiblatnya yang tersendiri sebagaimana mereka berbeza dari kelompok-kelompok yang lain dengan aqidahnya yang tersendiri.

Sentuhan kedua membayangkan perlu adanya usaha-usaha yang berterusan untuk menjalankan hubungan mesra yang erat di antara para anggota kelompok Muslimin dan meluaskan amalan memberi salam dan membalasnya dengan ungkapan yang lebih baik sebagai salah satu dari sarana-sarana terbaik untuk menjalin dan mengukuhkan hubungan-hubungan itu. Rasulullah saw telah ditanya tentang apakah sebaik-baik amalan? Jawab beliau :

”Engkau menjamu makanan dan memberi salam kepada mereka yang engkau kenal dan kepada mereka yang engkau tidak kenal.”

(Riwayat al-Bukhari)

Hukum memberi salam di antara sesama kelompok Muslimin ialah sunnah dan hukum membalas ucapan itu ialah wajib mengikut ayat ini. Nilai amalan tradisi memberi salam dan menbalasnya dapat dilihat dengan jelas apabila kita memperhatikan kesan-kesan tradisi dalam menjalinkan hubungan hati yang mesra dan mewujudkan perkenalan di antara mereka yang belum terkenal dan mengukuhkan lagi hubungan di antara mereka yang telah sedia terjalin hubungannya. Gejala yang seperti ini dapat dilihat oleh setiap orang yang memperhatikan kesan-kesan tradisi yang seperti ini dan hasil-hasilnya yang mengkagumkan di dalam masyarakat-masyarakat.

Sentuhan ketiga ialah ucapan ini merupakan hembusan bayu yang lembut di tengah-tengah ayat-ayat yang memperkatakan peperangan sebelumnya dan kemudiannya. Mungkin dimaksudkan dari ucapan Isam itu ialah untuk menunjukkan kepada satu dasar Islam yang asasi, iaitu ”as-Salamu” (kedamaian) maksudnya Islam itu adalah agama kedamaian dan ia tidak berperang melainkan dengan tujuan untuk menegakkan kedamaian di bumi dalam erti kata yang seluas-luasnya, iaitu kedamaian yang terbit dari kelurusan dan keteguhan fitrah mengikut sistem hidup Ilahi.


Leave a Comment so far
Leave a comment



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: