بسم الله الرحمن الرحيم


Surah al-Kahfi : 23-24 – Insya Allah.
May 23, 2008, 1:00 am
Filed under: Fi Zilal al-Quran

23. “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang engkau kehendaki) : Aku tetap melaksanakannya besok …”

24. “Melainkan disertai dengan menyebut “Insya Allah” dan kenangkan Tuhanmu jika engkau terlupa dan berdoalah : Semoga Allah memberi petunjuk kepadaku ke jalan yang lebih dekat dari ini.”

(al-Kahfi : 23-24)

Setiap gerak dan setiap diam, malah setiap nafas dari nafas-nafas hidup adalah tergantung kepada iradat Allah swt. Tabir ghaib yang dilabuhkan itu adalah melindungi segala sesuatu di sebalik detik yang wujud sekarang ini, dan mata manusia juga tidak dapat menjangkau di sebalik tabir yang dilabuhkan itu dan ia tetap lemah biar pun bagaimana banyak ilmunya. Oleh itu janganlah berkata, “Aku tetap akan melaksanakannya besok”, kerana hari esok adalah dari urusan ghaib dan tabir urusan ghaib Allah melindungkan akibat-akibat sesuatu.

Arahan ini bukanlah bertujuan supaya seorang itu duduk mendiamkan diri sahaja tanpa memikir dan merancang masa depannya dan supaya dia hidup di atas asas sehari demi sehari atau untuk sesaat demi sesaat sahaja atau supaya dia jangan menyambungkan masa hidupnya yang silam dengan masa hidupnya sekarang dan masa hidupnya yang mendatang. Tidak sekali-kali, tetapi tujuannya yang sebenar ialah supaya dia turut membuat perhitungan kepada perkara yang ghaib dan mengambil kira kehendak iradat Allah swt yang mentadbirkannya, juga supaya dia berpegang kukuh kepada keputusan yang telah diazamkannya dan memohon pertolongan kepada kehendak/masyiah Allah swt untuk menjayakan apa yang telah diazamkannya itu serta menyedari bahawa kuasa Allah swt mengatasi kuasanya. Oleh kerana itu janganlah dia merasa mustahil bahawa tadbir Allah swt berlainan dengan perancangannya. Andainya dia berjaya melaksanakan apa yang telah diazamkan, (maka hendaklah dia bersyukur) dan andainya kehendak/masyiah Allah swt berlainan dari apa yang dirancangkannya, maka janganlah dia bersedih dan berputus asa, kerana seluruh urusan itu di bawah kuasa Allah swt awal dan akhir.

Seseorang harus berfikir dan merancang, tetapi dia harus sedar bahawa dia hanya boleh berfikir dan merancangkan (dengan betul) dengan pertolongan dan taufiq dari Allah swt, dan dia tidak berupaya berfikir dan merancang melainkan dengan daya-daya berfikir dan merancang yang dikurniakan Allah swt kepadanya. Sikap ini tidak akan membawa seseorang kepada kemalasan, kelengahan dan kelemahan-kelemahan, malah sebaliknya ia membekalkannya dengan keyakinan, kekuatan, ketenteraman dan keazaman yang kukuh. Oleh itu apabila tersingkapnya tabir ghaib yang menunjukkan bahawa tadbir Allah swt itu berlainan dari perancangannya, maka hendaklah dia menerima keputusan Allah swt itu dengan penuh keredhaan, ketenangan dan penyerahan diri, kerana itulah keputusan asal yang tidak diketahui olehnya dan baru sekarang disingkapkan tabirnya.

Inilah methodologi Islam yang menguasai hati seorang muslim, oleh kerana itu dia tidak merasa keseorangan dan kesepian apabila dia berfikir dan merancang, tidak merasa angkuh dan sombong apabila dia berjaya dan tidak merasa putus asa apabila dia gagal, malah tetap berhubung dengan Allah swt dalam segala keadaan, tetap bergantung kepadaNya, bersyukur kepada taufiqNya dan tetap menerima qadha dan qadarNya tanpa angkuh dan putus asa.

24. “…dan kenangkan Tuhanmu jika engkau terlupa …“

Maksudnya, apabila engkau lupa kepada arahan dan pedoman ini, maka hendaklah engkau ingat kepada Allah swt dan kembali kepadanya.

24. “…dan berdoalah : Semoga Allah memberi petunjuk kepadaku ke jalan yang lebih dekat dari ini.”

Yakni ke jalan yang lebih dekat yang sentiasa menghubungkan hatinya dengan Allah dalam segala pekerjaan yang hendak dilakukannya dan segala jalan yang hendak ditujukannya.

Kata-kata “semoga” dan kata-kata “lebih dekat” digunakan disini untuk menunjukkan betapa tingginya maqam ini dan betapa perlunya seseorang itu berusaha secara berterusan untuk mencapaikannya dalam semua keadaan hidupnya.


1 Comment so far
Leave a comment

terasa sangat dekat dengan diri ini..

sungguh menyentuh hati, jzkk kepada contributor..

Comment by drmuthiah




Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: