بسم الله الرحمن الرحيم


Surah al-Fatihah : 1 – Bismillah.
May 23, 2008, 1:01 am
Filed under: Fi Zilal al-Quran

“Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.”

(al-Fatihah : 1)

Walaupun ada khilaf mengenai ayat ini, apakah ia merupakan satu ayat dalam setiap surah atau ia merupakan satu ayat al-Quran yang dimulakan dengannya ketika membaca setiap surah, namun menurut pendapat yang arjah (terkuat), ia adalah satu ayat di dalam Surah al-Fatihah dan denganya ia dikirakan tujuh ayat. Dan di sana ada suatu pendapat yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan firman Allah ‘Azza wa Jalla :

“Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadamu tujuh ayat dari ayat-ayat yang diulang-ulang bacaannya dan al-Quran yang agung.”

(al-Hijr : 87)

ialah Surah al-Fatihah yang disifatkan sebagai surah yang mempunyai tujuh ayat dan sebagai “al-Matsani” kerana ianya diulang-ulangkan bacaannya di dalam solat.

Memulakan sesuatu dengan “nama Allah” itu merupakan satu adab cara yang diwahyukan oleh Allah swt kepada RasulNya dalam ayat pertama yang diturunkan kepada beliau dengan ittifaq (persetujuan) para ulama iaitu :

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.”

(al-Alaq : 1)

Adab cara ini amat sesuai dengan dasar kefahaman Islam yang agung, yang menganggapkan Allah swt bersifat Maha Awal dan Maha Akhir, Maha Zahir dan Maha Batin. Allah swt adalah Zat yang maujud (ada) yang sebenar dan seluruh maujud (perkara yang ada) yang lain mendapat kewujudan Allah dan segala permulaan yang lain adalah berpangkal dari kewujudan Allah, kerana itu amatlah wajar segala permulaan, segala harakat atau tindakan dan segala tujuan itu dimulakan dengan namaNya.

Allah swt menyifatkan diriNya di permulaan dengan sifat ar-Rahman (Maha Penyayang) dan ar-Rahim (Maha Pengasih) iaitu dua sifat yang mencakup segala pengertian, kasih sayang dan kasihan belas dan segala keadaannya. Hanya pada Allah swt sahaja terkumpul dua sifat ini. Begitu juga hanya Allah swt sahaja yang wajar disifatkan dengan ar-Rahman. Mana-mana hamba Allah boleh disifatkan dengan sifar ar-Rahim dari segi kepercayaan dan lebih tidak wajar lagi dikembarkan kedua-dua sifat itu padanya.

Walaupun terdapat perselisihan tentang pengertian dua sifat ini, iaitu manakah di antara keduanya yang mempunyai pengertian kasih sayang dan kasihan belas yang lebih luas, namun perselisihan itu bukanlah dari perbahasan yang kita hendak bicarakan dengan terperinci dalam Tafsir Fi Zilal ini, malah kita hanya membuat kesimpulan sahaja dari perbahasan itu bahawa kedua-dua sifat ar-Rahman dan ar-Rahim adalah meliputi segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas, juga meliputi segala keadaan dan bidangnya.

Jika memulakan sesuatu dengan nama Allah yang mengandungi maksud mentauhidkan Allah dan beradab sopan denganNya itu merupakan dasar pokok dalam kefahaman Islam, maka pencakupan segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas dengan segala keadaan dan bidangnya dalam dua sifat ar-Rahman dan ar-Rahim itu merupakan dasar yang kedua di dalam kefahaman ini, dan ia juga menggariskan hakikat hubungan yang wujud di antara Allah dengan para HambaNya.


1 Comment so far
Leave a comment

=)

Comment by drmuthiah




Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: