Filed under: Fi Zilal al-Quran
“Dan berlumba-lumbalah kamu kepada mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat Syurga yang luasnya ialah seluas langit dan bumi yang telah disediakan untuk para Muttaqin.”
(Aali Imran : 133)
Yakni berlumbalah! Di sana terdapat keampunan dan Syurga yang disediakan kepada orang-orang bertaqwa.
Kemudian ayat yang menerangkan sifat-sifat orang-orang yang bertaqwa :
“Iaitu orang-orang yang sentiasa menginfaqkan harta mereka di masa kesenangan dan kesusahan …”
(Aali Imran : 134)
Yakni mereka tetap mengorbankan harta mereka dan meneruskan amalan ini sama ada di masa kesenangan atau kesusahan. Keluasan hidup tidak menyebabkan mereka menjadi angkuh dan lalai dan kesempitan hidup tidak menyebabkan mereka menjadi bosan dan lupa. Yang selalu dirasakan mereka dalam segala keadaan ialah kesedaran terhadap kewajipan dan perasaan bebas dari kekikiran dan kebakhilan, iaitu kesedaran bermuraqabah dengan Allah dan bertaqwa kepadaNya. Tiada yang dapat mendorong jiwa yang bertabiat bakhil dan cintakan harta kepada infaq dalam segala keadaan melainkan suatu dorongan yang lebih kuat dari nafsu harta, lebih kuat dari belenggu tamak dan tekanan kebakhilan. Itulah dorongan taqwa. Itulah satu kesedaran yang amat halus dan amat mendalam yang menjernih dan membersihkan jiwa dan membebaskannya dari segala ikatan dan belenggu.
Mungkin juga sebutan sifat ini mempunyai hubungan yang tertentu dengan suasana peperangan ini, kerana di dalam suasana peperangan ini kita melihat infaq dibicarakan berulang kali. Begitu juga kecaman terhadap orang-orang yang enggan dan menahan infaq disebut berulang kali sebagaimana akan diterangkan oleh rangkaian ayat yang akan datang. Ini semua menunjukkan adanya hubungan-hubungan yang tertentu dengan suasana peperangan itu dan dengan sikap setengah-setengah kumpulan terhadap seruan mengeluarkan infaq fi sabilillah.
“… Dan orang-orang yang menahan kemarahan mereka dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain terhadap mereka …”
(Aali Imran : 134)
Demikian pengaruh taqwa di bidang ini. Ia bekerja dengan dorongan-dorongan dan ransangan-ransangan yang sama. Kemarahan adalah emosi semulajadi manusia. Ia disertai atau diikuti oleh didihan darah. Ia merupakan salah satu dari ledakan-ledakan semulajadi manusia dan salah satu dari keperluan-keperluannya. Dan emosi ini tidak boleh dikawal oleh seseorang melainkan dengan rasa kesedaran yang halus yang dipancarkan oleh taqwa dan melainkan dengan kekuatan rohaniyah yang terbit dari pandangan yang melihat ufuk yang lebih tinggi dan lebih halus dari ufuk-ufuk kepentingan diri dan keperluan-keperluan peribadi.
Mengawal dan menahan kemarahan hanya merupakan satu tangga pertama dan kebolehan mengawalnya sahaja tidak cukup, kerana kadang-kadang seseorang itu menahan kemarahannya untuk menaruh dendam. Ini bererti kemarahan yang berkobar-kobar itu berubah kepada dendam yang terpendam dan kejengkelan yang lahir itu berubah kepada kesumat yang terbenam. Sebenarnya kemarahan dan kejengkelan itu lebih bersih dari dendam dan kesumat. Oleh sebab itulah, ayat ini menjelaskan bahawa titik pembebasan kemarahan yang terpendam di dalam hati orang-orang yang bertaqwa itu, ialah memberi kemaafan, bersikap toleran dan lapang dada dan bebas dari (kemarahan dan dendam).
Kemarahan dan kejengkelan itu merupakan satu bebanan yang berat kepada hati apabila dipendamkannya. Ia merupakan pucuk-pucuk api yang menjilat hati dan merupakan asap-asap yang menyelebungi dhamir (jiwa). Tetapi apabila hati memberi kemaafan, maka itulah titik kebebasan dari bebanan itu. Itulah penerbangan ke ufuk-ufuk nur. Itulah tiupan hawa dingin di dalam hati dan kedamaian di dalam dhamir.
“… Dan Allah memang kasihkan para Muhsinin.”
(Aali Imran : 134)
Orang-orang yang bermurah hati mengorbankan harta mereka dalam masa keluasan dan kesempitan adalah para Muhsinin. Dan orang-orang yang bermurah hati memberi kemaafan dan menunjukkan sikap berlapang dada dan toleran selepas mengalami kemarahan adalah para Muhsinin. Kata-kata “kasih” di sini suatu pengungkapan yang membayangkan kemesraan dan sifat yang gemilang yang selaras dengan suasana yang halus, cemerlang dan mulia itu.
Dari kasih Allah kepada amalan Ihsan dan para Muhsinin tercetuslah kasih kepada amalan ihsan ini di dalam hati para kekasih Allah dan terbentanglah keinginan yang kuat ke arah itu di dalam hati mereka. Oleh itu kata-kata kasih di dalam ayat ini bukanlah semata-mata suatu pengungkapan yang menarik, tetapi juga itulah hakikatnya di sebalik pengungkapan itu.
Kelompok yang dikasihi Allah dan kasihkan Allah, yang bersikap lapang dada, toleran, mudah, bebas dari dendam kesumat ialah kelompok yang bersatu padu, kelompok yang bersaudara dan kelompok yang kuat. Di sinilah terletak hubungan di antara bimbingan ini dengan perjuangan di medan peperangan dan perjuangan di medan kehidupan.
Filed under: Dakwah dan Tarbiah
Dalam memberikan arahan (taujih) tentang tugas dakwah, Imam Syahid Hasan al-Banna memberikan perumpamaan dengan perkataannya : “Disetiap bandar terdapat pusat pembangkit eletrik. Para pegawai memasang pra-sarananya di seluruh penjuru bandar, memasang tiang dan kabel, setelah itu alirang eletrik masuk ke kilang-kilang, rumah-rumah dan tempat-tempat lain. Jika aliran eletrik tersebut kita matikan dari pusat pembangkitnya, maka seluruh bandar akan gelap gelita. Padahal saat itu, tenaga eletrik ada dan tersimpan di pusat pembangkit eletrik. Hanya saja ianya tidak dimanfaatkan.”
Demikianlah, Allah telah menurunkan al-Quran al-Karim kepada kita, dan dialah sebesar-besar tenaga dalam kehidupan ini.
Allah berfirman : “Sesungguhnya telah datang kepada mu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjukkan orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izinNya, dan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.”
(al-Maidah : 15-16)
Begitu jugalah al-Quran al-Karim, ia adalah pusat pembangkit “tenaga” bagi kaum muslimin, tetapi sumber kekuatan itu kini dicampakkan oleh kaum muslimin sendiri, sehingga hati mereka menjadi gelap dan tatanan kehidupan pun menjadi rosak.
Tugas kita sebagai da’i adalah seperti tugas para pegawai eletrik, mengalirkan kekuatan ini dari sumbernya ke setiap hati orang-orang muslim agar sentiasa bersinar dan menerangi sekelilingnya.
Allah berfirman : “Dan apakah orang yang sudah mati, kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang cahaya itu ia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupalah dengan keadaan orang yang berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar darinya?”
(al-An’am : 122)
Maka tatkala anda ingin memikat hati mad’u, anda harus ingat bahawa anda adalah sebagai seorang da’i bukan seorang ulama atau fuqaha. Tatkala anda berdakwah, anda harus ingat bahawa anda sedang memberikan hadiah kepada orang lain, maka anda harus mempertimbangkan hadiah apa yang paling pantas diberikan dan bagaimana cara memberikannya.
Filed under: Hadis
Dari Hudzaifah bin al-Yaman ra, dia berkata : “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda :
“Berbagai fitnah akan dibentangkan kepada hati seperti anyaman tikar, satu benang demi satu benang. Mana-mana hati yang berhasil dirasuki fitnah itu, maka ia akan meninggalkan titik hitam. Manakala hati yang berhasil menolaknya, maka ia akan meninggalkan titik putih. Sehingga hati itu terbelah dua, hati putih seperti batu karang, yang tidak akan goyah oleh fitnah apapun selama langit dan bumi masih tegak. Sedangkan yang lainnya hati hitam seperti warna yang sangat putih terletak dalam warna hitam, ia seperti kuali terbalik, ia tidak mengenal kema’rufan dan tidak pula menolak kemungkaran, kecuali apa-apa yang bersesuaian dengan keinginan hawa nafsunya.”
(Riwayat Muslim)
Boleh jadi hati memiliki kesediaan menerima fitnah, akan tetapi pada keadaan lapang dan nyaman, ia tidak terlihat, sedangkan ketika masalah-masalah syubhat menyertainya dan goncangan lain ikut pula menerpanya, maka fitnah kesesatan tersebut akan terbuka dan terlihat masuk pada dirinya.
Para ulama mengumpamakan hal ini dengan seorang yang berpenyakit dada. Bila cuaca sedang jernih dan baik, maka pernafasannya lancar dan bagus. Namun apabila angin datang seraya menghembuskan debu, maka dia akan terengah-engah. Nafasnya sesak, seakan-akan tercekik.
Atau keadaannya seperti kolam yang tenang airnya sedangkan dasarnya terdapat endapan lumpur, lalu dilemparkan sebuah batu kecil ke dalamnya, maka kalom itu akan terlihat keruh, padahal anda mengiranya bersih.
Sedangkan kolam yang benar-benar bersih, bila ada batu yang dilemparkan ke dalamnya akan membuat kolam itu terlihat semakin indah, kerana akan menimbulkan gelembung-gelembung bulat seperti bayangan dahan-dahan hijau.
Perhatikanlah pengaruh batu fitnah yang jatuh ke dalam hati. Ia telah mencorakkannya. Janganlah anda tertipu oleh permukaan air tenang yang mengelabui. Janganlah anda menolak gambaran orang yang terkena fitnah bagaikan kuali terbalik. Kerana betapa banyak orang yang pada mulanya baik namun akhirnya mati dalam keadaan meninggalkan solat.
Filed under: Dakwah dan Tarbiah
Manusia adalah satu makhluk yang istimewa. Padanya terdapat sedikit sifat malaikat, sedikit sifat syaitan dan sedikit sifat binatang.
Apabila dia tenggelam di dalam ibadat, hatinya suci bersih ketika bermunajat kepada Allah dan merasai kemanisan iman. Ketika itu sifat malaikat sudah menguasai dirinya. Dia menjadi seperti malaikat yang tidak melakukan maksiat kepada Allah dan melaksanakan segala perintahNya.
Apabila dia mengingkari PenciptaNya, kufur atau menyekutukan Tuhannya dengan sesuatu yang lain di dalam ibadat, ketika itu sifat syaitan telah menguasai dirinya.
Apabila dia dikuasai oleh kemarahan, maka emosi dan darahnya menggelegak serta otot-ototnya mula tegang, kemahuannya hanyalah mahu mendapatkan musuhnya. Kalau dapat, dia akan menggigitnya, menyiat-nyiat kulitnya dengan kuku, mencekik lehernya, dia akan mencekiknya sehingga musuhnya itu tidak bermaya. Jika sifat buas ini menguasai dirinya, tiada lagi perbezaan besar antaranya dengan harimau.
Apabila dia dikuasai perasaan lapar atau dahaga, harapannya hanya makanan yang memenuhi perutnya dan air yang boleh menghilangkan dahaga.
Begitu juga jika dirinya dikuasai nafsu sex, perasaannya mengejolak, fikirannya dipenuhi dengan khayalan kenikmatan, ketika itu dia telah dikuasai oleh sifat kebinatangan. Dia telah menjadi seperti lembu atau kuda jantan ataupun binatang-binatang lain.
Inilah hakikat manusia. Dia mempunyai persediaan untuk kebaikan dan kejahatan. Allah menunjukkan kepadanya kedua-dua jalan tersebut dan mengurniakan akal yang boleh membezakan di antara keduanya serta kemahuan (iradah) yang boleh melaksanakan pilihannya. Jika dia bijak menggunakan akal dan kemahuan, persediaannya untuk kebaikan akan subur sehingga ia menjadi sifat kebiasaannya. Pada Hari Akhirat pula, dia termasuk di kalangan orang-orang bahagia. Jika tidak, dia termasuk di kalangan orang-orang celaka.
Memanglah jiwa diciptakan bebas dan agama pula membelenggu, tetapi kawalan ini satu kemestian. Jika kita membiarkannya bebas melakukan kejahatan mengikut hawa nafsu, masyarakat akan menjadi porak poranda. Ini kerana kebebasan mutlak hanyalah untuk orang-orang gila.
Orang gila melakukan semua perkara yang terlintas di fikirannya, berjalan di jalan raya tanpa pakaian dan menaiki kenderaan awam di sebelah pemandu. Kalau dia tertarik kepada pakaian anda, dia akan mengambilnya walaupun pakaian itu berada di atas bahu anda. Jika dia berkenan dengan anak dara anda, dia akan memintanya dengan alasan mencintainya, bukan dengan Syariat Islam.
Orang gila ialah orang yang mempunyai kebebasan mutlak.
Orang yang berakal pula ialah orang yang kebebasannya dikawal oleh akal.
Jadi, apakah akal itu?
Ia adalah ikatan. Lafaznya sendiri diambil dari perkataan Iqal yang bermakna tali pengikat unta. Hikmat pula mempunyai makna yang hampir sama dengan perkataan ‘penambatan binatang”, ia juga satu ikatan. Kemajuan (Hadharah) juga adalah ikatan kerana ia tidak membiarkan anda melakukan apa sahaja, malah ia mewajibkan anda menjaga hak-hak manusia dan adab resam masyarakat. Keadilan juga adalah ikatan kerana ia membataskan kebebasan anda.
Kemudian, maksiat pula satu keseronokan kerana selari dengan tabiat nafsu. Anda merasa seronok bile mendengar atau menyertai perbuatan mengumpat. Ini kerana ia membuatkan anda merasakan bahawa diri anda adalah jauh lebih baik daripada orang yang diumpat. Mencuri juga satu keseronokan kerana dapat memiliki harta tanpa penat lelah. Zina juga satu kelazatan kerana dapat melepaskan keinginan hawa nafsu. Penipuan dalam peperiksaan juga seronok kerana anda akan berjaya tanpa memerah tenaga. Tidak menunaikan kewajiban juga seronok kerana anda boleh berehat dan bermalas-malas.
Tetapi apabila manusia berfikir dan menggunakan akalnya, dia akan mendapati bahawa kebebasan sementara ini sedikitpun tidak dapat menyamai akibat selepasnya iaitu terkurung di dalam neraka jahanam dalam tempoh yang berpanjangan. Ini adalah kelazatan haram yang secebispun tidak dapat menandingi azab yang menantinya.
Siapakah yang bersetuju memeterikan perjanjian dengan kita (perjanjian yang dicatat dan disaksikan) selama setahun untuk kita memberikannya apa saja harta yang dia minta sepanjang tempoh tersebut, kita juga akan memberikannya istana mana yang dia mahu tinggal, negara mana yang ia pilih, wanita mana yang mahu dikahwini; dua tiga atau empat orang, sekalipun dia talak seorang setiap pagi dan berkahwin lagi sebagai gantinya pada setiap petang, kita juga tidak akan menghalang apa sahaja yang dia mahu. Te/tapi selepas berlalunya setahun, kita akan menggantungnya di tali gantung sehingga mati?
Tidakkah dia akan berkata : “Celakalah kelazatan setahun yang diikuti oleh kematian selepasnya.”? Tidakkan tergambar di fikirannya waktu dia digantung, tidak ada satupun kelazatan tadi yang bersamanya, sedangkan kesakitan di tali gantung hanyalah beberapa minit, manakala azab akhirat berpanjangan?
Tiada seorangpun di kalangan kita yang tidak pernah melakukan maksiat sepanjang hidupnya dan tidak pernah merasai kelazatan melakukannya. Sekurang-kurangnya dia pernah walaupun sekali, mengutamakan kehangatan katil dari bangun menunaikan solat subuh. Apakah keseronokan yang pernah kita rasai sepuluh tahun dahulu masih berbaki pada hari ini?
Tidak ada seorang pun di kalangan kita yang tidak memaksa dirinya untuk menunaikan ketaatan dan tidak menanggung keperitan dalam menunaikannya. Sekurang-kurangnya rasa lapar dan dahaga pada bulan Ramadhan. Apakah keperitan lapar dan dahaga pada bulan Ramadhan sepuluh tahun lalu masih dirasai oleh jiwa kita pada hari ini?
Jawapannya tidak, walaupun sedikit.
Kelazatan maksiat telah hilang, yang tinggal hanyalah balasan buruknya. Keperitan taat juga telah berlalu, yang tinggal hanyalah balasan pahalanya.
Di saat kematian, apakah kelazatan yang pernah kita kecapi dan keperitan yang pernah kita alami yang masih lagi dapat dirasai di saat itu?
Filed under: Fi Zilal al-Quran
“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah di pinggir jurang sahaja, jika dia memperolehi kebaikan dia akan tetap dengan keimanan itu, dan jika dia ditimpa ujian kesusahan dia terus jatuh tersungkur di dalam kekufuran. Rugilah dia dunia dan akhirat dan itulah kerugian yang amat jelas.”
(al-Hajj : 11)
Aqidah merupakan tiang seri yang teguh di dalam hidup seseorang Mukmin biarpun dunia di sekelilingnya bergoyang, namun ia tetap teguh di atas tiang seri itu. Walaupun dia ditarik oleh berbagai-bagaii peristiwa dan berbagai-bagai dorongan, namun dia tetap bergantung pada batu aqidah yang tidak bergoyang itu. Walaupun segala sandaran di sekelilingnya runtuh dan tumbang, namun dia tetap bersandar pada tiang seri yang tidak akan berubah dan hapus itu.
Inilah nilai aqidah dalam hidup seseorang Mukmin. Justeru itu dia harus berdiri teguh, berpegang kukuh dan penuh yakin dengan aqidahnya, tanpa teragak-agak, ragu-ragu dan tanpa menunggu balasan kerana aqidah itu sendiri merupakan suatu ganjaran dan balasan Ilahi, dan kerana aqidah itu sendiri merupakan kawasan keselamatan, di mana ia mencari keselamatan dan merupakan sandaran tempat ia bersandar.
Ya … aqidah itu sendiri merupakan satu balasan kepada hatinya yang telah membuka pintunya untuk mendapatkan nur hidayat. Oleh sebab itulah Allah kurniakan aqidah kepada manusia agar mereka dapat mencari perlindungan dan ketenteraman.
Ya … aqidah itu sendiri merupakan balasan yang dapat disedari nilainya oleh seseorang Mukmin yang melihat di sekelilingnya golongan-golongan manusia sesat yang dipukul ribut taufan dan dikongkongi perasaan resah gelisah, sedangkan dia berdiri tegak dengan aqidahnya dengan hati yang tenteram, dengan tapak kaki yang kukuh dan dengan jiwa yang tenang, yang berhubung rapat dengan Allah serta berkeyakinan penuh terhadap hubungan itu.
Adapun jenis manusia yang diperkatakan ayat tadi, maka itulah jenis manusia yang menjadikan agama sebagai satu urusniaga di pasar perdagangan :
“… jika dia memperolehi kebaikan dia akan tetap dengan keimanan itu, …”
(al-Hajj : 11)
dan dia akan memuji bahawa keimanan itu baik : “Lihatlah agama telah membawa faedah, membiak ternakan, menyuburkan tanaman, menguntungkan perniagaan dan menjamin larisan.”
“… dan jika dia ditimpa ujian kesusahan dia terus jatuh tersungkur di dalam kekufuran. Rugilah dia dunia dan akhirat dan itulah kerugian yang amat jelas.”
(al-Hajj : 11)
Dia rugi di dunia dengan sebab kesusahan yang menimpanya, tetapi dia tidak sabar dan tabah menghadapinya serta tidak pulang kepada Allah. Dan dia kerugian di Akhirat dengan sebab dia jatuh tersungkur ke dalam kekufuran dan berpusing dari aqidahnya dan dari hidayah yang ditaufiqkaan Allah kepadanya.
Al-Qurang menggambarkan ibadat manusia jenis ini dengan ungkapan “ala harfin” (di pinggir jurang sahaja), maksudnya ia tidak berpegang teguh dengan aqidahnya dan tidak mantap beribadat kepada Allah. Al-Quran menggambarkannya dalam bentuk harakat jasad yang terumbang-ambing yang boleh jatuh dengan sekali tolak sahaja. Oleh sebab itulah dia terus jatuh tersungkur apabila disentuh kesusahan. Pendiriannya yang goyah dan warawiri itulah yang membuatnya mudah jatuh dan terbalik.
Perkiraan untung rugi hanya sesuai dengan perniagaan, tetapi tidak sesuai dengan aqidah, kerana aqidah merupakan kebenaran yang dianut kerana kebenaran itu sendiri. Ia dianut dengan rasa hati yang terharu kerana menerima nur dan hidayat, iaitu hati yang tidak dapat menahankan dirinya dari perasaan terharu dengan sebab menerima hidayat. Aqidah itu sendiri membawa balasannya kerana ia dapat memberikan ketenteraman, ketenangan dan kepuasan hati. Justeru itu aqidah tidak dicari balasannya dari luar.
Seseorang mukmin beribadat kepada Allah kerana mensyukuri nikmat hidayah yang dikurniakan kepadanya kerana menikmati ketenteraman berada daam hubungan yang dekat dan mesra dengan Allah, dan jika di sana ada suatu balasan yang lain, maka itu hanya merupakan limpah kurnia dari Allah sebagai pengharapan di atas keimanan dan ibadatnya.
Orang yang beriman tidak menguji Tuhannya. Dia dari awal-awal lagi sanggup menerima apa sahaja takdir Allah yang ditentukan kepadanya dan sanggup berserah kepadaNya dalam apa sahaja ujian Allah terhadap dirinya. Dia dari awal-awal lagi redha dengan kesenangan dan kesusahan yang didapatinya. Kesenangan dan kesusahan bukanah suatu urusniaga di pasar perdagangan dii antara penjual dan pembeli, malah ia merupakan penyerahan diri makhluk kepada Khaliqnya selalu tuan punya dirinya dan selaku sumber kewujudannya.
Orang yang terbalik dan jatuh tersungkur dalam kekufuran apabila disentuh ujian kesusahan tidak syak akan mengalami kerugian yang amat besar :
“… itulah kerugian yang amat jelas.”
(al-Hajj : 11)
Dia kerugian ketenteraman, keyakinan, ketenangan dan kepuasan hati, di samping kerugian harta atau anak atau kesihatan atau lain-lain kesenangan hidup yang digunakan Allah untuk menguji para hambaNya, iaitu untuk menduga sejauh mana kepercayaan mereka kepada Allah, sejauh mana kesabaran mereka menghadapi ujianNya, sejauh mana keikhlasan hati mereka kepadaNya dan sejauh mana kesediaan mereka untuk menerima qadah dan qadarNya.
Dan dia akan kerugian Akhirat dengan segala nikmat-nikmat yang disediakan di sana. Dia kerugian nikmat perdampingan dengan Allah da nikmat mendapat keredhaanNya.
Alangkah besar kerugiannya!