Filed under: Dakwah dan Tarbiah
Inilah makna firman Allah :
“Dan kami tunjukkan kepadanya dua jalan.”
(al-Balad : 12)
Allah mengadakan para penyeru yang menyeru dan menunjukkan manusia ke jalan syurga. Mereka adalah para anbiya. Begitu juga di jalan nereka. Terdapat para penyeru yang menyeru dan mendorong ke arahnya. Mereka adalah syaitan-syaitan.
Allah menjadikan ulama sebagai pewaris nabi-nabi. Fatimah binti Muhammad tidak mewarisi harta benda dan tanah daripada baginda. Para ulama pula mewarisi dakwah ini daripada baginda. Hanya orang yang melaksanakan dakwah ini dengan sebenar-benarnya sahaja yang layak mendapat penghormatan warisan ini.
Dakwah ini sukar, kerana nafsu manusia sudah dicipta condong kepada kebebasan, sedangkan agama mengawalnya. Nafsu suka mengejar kelazatan sedangkan agama membataskannya.
Sesiapa yang menyeru kepada kejahatan dan maksiat bermakna dia bersetuju dengan dengan tabiat nafsunya. Dengan itu dia berjalan bersama nafsunya seperti air yang menglir turun ke tanah rendah.
Dakilah bukit untuk mendapatkan tangki air atasnya. Tebuklah dengan kapak, nescaya air akan mencurah turun sedangkan kamu berdiri melihat air tersebut memasuki kawasan wadi.
Tetapi, jika kamu ingin mengembalikannya semula ke tempat asal, ia tidak akan kembali melainkan dengan menggunakan pengepam air, dan berbagai kesukaran dan perbelanjaan besar.
Begitu juga dengan batu besar yang ada di puncak bukit. Mudah saja untuk ditolak sehingga ia bergolek jatuh ke bawah. Ia turun tanpa perlu penat lelah. Tetapi kalau anda mahu mengembalikannya ke tempat asal, anda akan berhadapan dengan kepenatan dan kesukaran.
Ini adalah perbandingan manusia.
Teman jahat anda akan berkata : “Di sini ada wanita cantik yang menari dalam keadaan tidak berbaju.” Nafsu anda akan cenderung kepadanya dan menolak anda untuk menurutinya, dan seribu syaitan akan mengheret anda. Anda tidak akan sedar melainkan ketika sudah berada disisinya. Apabila anda didatangi oleh seseorang yang memberi peringatan untuk memalingkan anda daripada wanita tersebut, anda akan begitu sukar untuk menyahut dan melawan keinginan hawa nafsu anda.
Para penyeru kejahatan tidak kepenatan dan tidak mengeluarkan tenaga. Tetapi penyeru kebaikan dan pemberi peringatan tidak begitu. Mereka perlu berpenat dan memerah nafsu. Penyeru kejahatan memiliki semua perkara yang disukai nafsu seperti aurat terdedah, keinginan haram dan setiap perkara yang menyeronokkan mata, telinga, hati dan jasad. Manakala penyeru kebaikan pula, mereka hanya memiliki “tegahan”.
Anda melihat seorang gadis cantik yang mendedahkan aurat. Anda akan tertarik untuk melihat tempat-tempat menarik pada tubuhnya. Penyeru kebaikan akan berkata : “Tutuplah pandangan kamu dan jangan memandang ke arahnya.”
Seorang peniaga mendapati keuntungan mudah dikaut melalui amalan riba tanpa penat lelah dan merasa seronok dengannya. Penyeru kebaikan akan berkata kepadanya : “Tinggalkan perbuatan itu dan jangan meminta bantuannya.”
Seorang pegawai melihat kawannya menerima rasuah dalam masa seminit yang menyami gajinya selama enam bulan. Dia mula membayangkan kalau dia juga berbuat demikian, nescaya dia akan memperoleh kesenangan dan memenuhi keperluan hidupnya. Penyeru kebaikan akan berkata : “Kamu jangan ambil dan berseronok dengannya.”
Penyeru kebaikan akan berkata kepada mereka : “Tinggalkanlah keseronokkan yang dikecapi sekarang supaya kamu mendapat kelazatan yang akan datang yang kamu tidak nampak. Tinggalkanlah apa yang kamu sedang lihat dan dengar untuk mendapatkan apa yang kamu tidak melihat dan mendengarnya sekarang … lawanlah kehendak hawa nafsu dan keinginan hatimu. Kesemua itu amat berat ke atas jiwa. Kita tidak boleh menolak hakikat ini kerana agama sendiri menyifatkannya sebagai berat. Allah sendiri telah menamakannya dengan berat di dalam al-Quran :
“Kami akan mencampakkan kepada kamu perkataan yang berat.”
(al-Muzammil : 5)
Setiap perkara baik sangat sukar untuk diterima oleh nafsu. Pelajar yang meninggalkan TV kerana mengulangkaji pelajaran, ahli ilmu yang meninggalkan majlis hiburan kerana sibuk dengan pembacaan dan pengkajian, orang yang sedang tidur meninggalkan katilnya untuk menunaikan solat Subuh, begitu juga dengan seorang lelaki yang meninggalkan anak isterinya kerana menyahut seruan jihad, semua itu amatlah berat.
Oleh kerana itu, kita dapati orang-orang jahat lebih ramai daripada orang-orang soleh. Mereka yang tenggelam di dalam kesesatan lebih ramai daripada mereka yang berzikir dan mengikuti jalan kebenaran. Kerana itu, mengikuti golongan majoriti tanpa penglihatan dan petunjuk, kebiasaannya akan menyesatkan pelakunya. Firman Allah :
“Dan jika sekiranya kamu mentaati kebanyakkan mereka yang berada di atas muka bumi ini, mereka akan menyesat kamu dari jalan Allah.”
(al-An’am : 116)
Filed under: Fi Zilal al-Quran
55 – “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan rendah diri dan dengan suara yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang pelampau.”
56 – “Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi setelah Allah mengislahkannya. Dan berdoalah kepada Allah dengan perasaan takut dan penuh harapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu amat dekat kepada para Muhsinin.”
(al-A’raaf : 55-56)
Apabila ayat-ayat ini sampai disini, maka jiwa manusia pun bergerak dan menggeletar dengan penuh terharu kerana melihat pemandangan-pemandangan alam yang hidup (lihat maksud ayat sebelum ayat 55), sedangkan selama ini ia melihat pemandangan itu dengan pandangan yang bodoh yang tidak membawa apa-apa erti. Kini ia melihat dengan jelas bagaimana makhluk-makhluk yang besar itu memperlihatkan ketaatan dan ubudiyah kepada kekuasaan dan perintah Allah, dan ketika inilah ia menumpukan seluruh hatinya kepada Allah Tuhan makhluk-makhluk yang besar itu untuk berdoa kepadaNya dengan penuh khusyu untuk menjunjung Rububiyah Allah terhadap mereka dan mematuhi batas-batas ubudiyah mereka kepada Allah : iaitu tidak menceroboh kuasa Allah dan mengikut hawa nafsu mereka setelah Allah mengislahkan bumi dengan undang-undang dadn peraturan agamaNya.
Itulah perintah yang dikeluarkan dalam suasana yang paling sesuai dengan keadaan jiwa yang baik supaya mereka berdoa dan kembali kepada Allah dengan khusyu dan rendah diri, dengan suara lembut dan perlahan bukan dengan laungan yang kuat dan bertepuk tangan, kerana berdoa dengan perasaan rendah diri dan dengan suara yang lembut itu adalah lebih sesuai dengan kebesaran Allah dan dengan hubunganNya yang dekat dengan para hambaNya.
Mengikut sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dengan isnadnya dari Abu Musa as katanya : Kami bersama Rasulullah saw dalam satu persafiran (perjalanan) – dalam riwayat yang lain dalam satu peperangan – tiba-tiba orang ramai bertakbir dengan suara yang lantang, lalu Rasulullah saw berseru :
“Wahai manusia, Kasihanlah kepada diri kamu. Sesungguhnya kamu bukan berdoa kepada yang tuli dan bukan pula kepada yang ghaib, malah kamu berdoa kepada Tuhan yang Maha Mendengar dan Maha Hampir kepada kamu.”
Perasaan yang penuh iman terhadap kebesaran dan kehampiran Allah itulah yang ditekankan di sini oleh methodologi al-Quran, di mana ia menjelaskan dalam bentuk harakatnya yang sebenar ketika berdoa kepada Allah, kerana orang-orang yag benar-benar merasa kebesaran Allah akan merasa segan dan malu melaungkan doanya dengan suara yang tinggi. Begitu juga orang yang merasakan kehampiran Allah tidak mempunyai suatu alasan yang mewajarkannya menggunakan suara yang keras untuk berdoa kepada Allah.
Di bawah bayangan pemandangan berdoa kepada Allah dengan khusyu dan rendah diri, ayat yang berikut mengemukakan larangan terhadap perbuatan menceroboh kuasa Allah dalam bentuk perbuatan mereka dalam jahiliah yang mendakwa mempunyai kuasa Hakimiyah, iaitu kuasa membuat undang-undang dan keputusan-keputusan yang hanya dimiliki oleh Allah, disamping larangan mereka melakukan kerosakan di bumi kerana menurut hawa nafsu, sedangkan bumi telah diislahkan Allah dengan undang-undang syariatNya. Orang yang berdoa kepada Allah yang Maha Dekat dengan khusyu dan rendah diri, dengan suara rendah dan perlahan tidak akan menceroboh kuasa Allah dan tidak akan melakukan perbuatan-perbuatan yang membawa kepada kerosakan di bumi Allah setelah diislahkannya. Di antara dua perasaan ini terdapat hubungan dalaman yang rapat dalam struktur jiwa dan perasaan manusia. Methodologi al-Quran sentiasa menurut debaran hati dan keharuan-keharuan perasaan manusia. Itulah methdologi ciptaan Allah yang mengetahui rahsia insan yang diciptakanNya dan Dia adalah Maha Halus dan Maha Mendalam ilmuNya.
“… Dan berdoalah kepada Allah dengan perasaan takut dan penuh harapan …”
(al-A’raaf : 56)
iaitu takut kepada kemurkaan dan hukumanNya dan penuh harapan untuk mendapat keredhaan dan ganjaran dariNya.
“… Sesungguhnya rahmat Allah itu amat dekat kepada para Muhsinin.”
(al-A’raaf : 56)
iaitu orang-orang yang menyembah Allah seolah-olah mereka melihatNya dan jika mereka tidak dapat melihatNya, maka Allah tetap melihatnya, sebagaimana pengertian ihsan yang dijelaskan oleh hadis Nabi saw.
Filed under: Dakwah dan Tarbiah
I
Demikianlah kedudukan persaudaraan di antara para da’i. Ia merupakan tiang seri yang penting dalam tarbiyah kita, sesudah solat dan tasbih. Setiap gerakan Islam yang menekuni aktiviti umum sebelum mengukuhkan makna persaudaraan keimanan ini di kalangan anggotanya, pasti akan mengalami kegagalan sebagai akibat dari kesembronoan dan kelalaiannya terhadap pentingnya makna persaudaraan ini. Tidak ada jalan lain kecuali harus kembali dari permulaan dengan menempuh jalan iman dan mempergunakan sasat malam hari yang berharga dengan sebaik-baiknya. Lalu etika persaudaraan ini harus direalisasikan ke dalam sikap saling nasihat menasihati, saling merasa senasib sepenanggungan dan saling menyintai, agar hati di antara sesama saudara terjalin dalam suatu ikatan yang erat dan terpadu dalam nuansa yang penuh toleransi. Kita harus belajar bersikap toleran terhadap sesama saudara, bilamana di antara mereka ada seseorang yang melakukan kelalaian atau bersikap melampaui batas dalam aktivitinya. Sebagaimana etika persaudaraan ini mengajarkan untuk bersikap memberikan imbalan, kesetiaan dan ucapan terima kasih manakala di antara mereka ada yang cepat memberikan respon dan berhasil membenahi kekeliruan dirinya.
Sesungguhnya Imam Syahid Hasan al-Banna menyukai bila etika ini diamalkan oleh para da’i. Kerana itu beliau meletakkan suatu manhaj tertentu sehingga persaudaraan mereka tidak terbatas hanya pada tingkat pembicaraan dan teori-teori belaka, bahkan meningkat sampai ke tahap amal dan operasional. Dari persaudaraan yang terjalin di masa generasi pertama, al-Banna rahimahullah melihat hal-hal yang menyenangkan hatinya semasa hidupnya. Dan untuk membuktikan kesetiaan dari orang-orang yang menyintainya sepeninggalannya, seharusnya mereka melestarikan kebaikan etika ini, dan kembali merujuk kepadanya di awal kesadaran mereka, manakala dilupakan oleh kelalaian mereka.
Sesungguhnya ia adalah nikmat persaudaraan.
Umar ibnul-Khattab ra menganggapnya sebagai anugerah Ilahi yang paling berharga bagi seorang hamba sesudah nikmat Islam. Umar ra mengatakan :
“Tiada suatu kebaikan pun yang dianugerahkan kepada seorang hamba sesudah Islam, selain dari saudara yang soleh. Apabila seorang di antara kamu merasakan sentuhan kasih sayang dari saudaranya, maka hendaklah ida berpegang kepadanya.”
Seorang tabiin bernama Malik bin Dinar menyebutnya dengan istilah kesenangan dunia. Ia mengatakan :
“Tiada tersisa dari kesenangan dunia selain dari tiga perkara iaitu : bersua dengan para saudara, tahajjud dengan membaca al-Quran dan rumah yang sepi untuk melakukan zikrullah di dalamnya.”
Seorang penyair menghimpunkan kesemuanya itu dalam ungkapannya, dan menyebutnya sebagai harta simpanan, melalui bait-bait berikut :
“Demi usiamu, pemuda yang sejati tidak pernah menyukai harta simpanan, melainkan harta simpanan yang sebenarnya adalah saudara yang dapat dipercaya.”
Oleh kerana itu, ulama salaf sering berpesan agar teliti dalam memilih teman sepergaulan, supaya harta simpanan yang sebenarnya dan kesenangan sesungguhnya dapat diraih. Disebutkan bahawa di antara pesan-pesan al-Hasan al-Basri, penghulu para tabiin menyebutkan sebagai berikut :
“Sesungguhnya engkau mendapat bahagian dari teman setiamu, dan sesungguhnya engkau mendapat bahagian dari sebutan orang yang kamu cintai. Oleh itu pilihlah saudara, teman dan majlis tempat dudukmu.”
II
Para tabiin menggambarkan pengertian yang baik secara umum dengan ungkapan yang teliti dalam memilih teman. Hal ini diungkapkan oleh mereka melalui bait-bait syair berikut :
“Engkau dinilai di kalangan manusia melalui orang yang engkau pilih sebagai teman dekat mu,
Maka bertemanlah dengan orang-orang pilihan, nescaya darjatmu terangkat tinggi dan memperoleh sebutan yang baik.”
Kemudian mereka menggambarkannya secara khusus dan menafsirkan kebaikan ini dengan pengertian taqwa, melalui ungkapan bait berikut :
“Bersainglah apabila persainganmu untuk mencari saudara yang bijak, iaitu apabila engkau ingin bersaudara dengan ahli taqwa,
Tiada kebaikan pada diri orang yang tidak dapat diharapkan kebaikannya di waktu kapan pun, dan tidak pula gangguan dapat dihindarkan darinya.”
Kemudian mereka menjelaskan lebih jauh dengan menyebutkan sifat-sifatnya secara terperinci guna membantumu untuk teliti dalam memilih.
Sifat yang paling menonjol dari orang yang baik untuk dijadikan teman atau saudara adalah orang yang baik tutur katanya. Hal ini disebutkan oleh Umar ra melalui ungkapan berikut :
“Seandainya aku tidak berjuang di jalan Allah, atau meletakkan keningku di tanah kerana sujud kepada Allah, atau duduk semajlis dengan suatu kaum yang suka memungut perkataan yang baik sebagaimana mereka memungut buah masak yang terjatuh, tentulah aku lebih suka mati saja menghadap kepada Allah.
Di antara sifat mereka ialah bahawa seseorang dari mereka dapat meringankan beban yang memberatimu dan melenyapkan segala macam protokol di antara kamu dnegan dia. Jaafar Ibnu Muhammad as-Sodiq ra mengatakan :
“Teman-teman yang paling berat bagiku adalah orang yang menjadi beban bagiku dan aku harus memelihara hubungan dengannya secara formal. Dan yang paling ringan di antara mereka adalah seseorang yang bila aku ada bersamanya sama dengan aku dalam keadaan sendirian.”
Di antara sifat mereka ialah tidak materialistik dan suka kepada hal-hal yang meninggikan darjat. Mereka membuat suatu perumpamaan mengenai sifat ini melalui sikap Imam Ahmad dalam memilih teman, sebagaimana yang dikatakan oleh orang yang menyanjunginya :
“Dia berbuat baik untuk membela agama Allah dan tidak pernah takut menghadapi bencana, manakala dia melihat ahli kebenaran dizalimi,
Teman-teman dekatnya adalah setiap orang yang beroleh taufiq, memahami perintah Allah lagi suka kepada hal-hal yang meninggikan darjat.”
Di antara sifat mereka ialah selalu mengingatkan kita kepada Hari Akhirat, sebagaimana dikatakan oleh al-Hasan al-Basri :
“Teman-teman kami lebih kami sukai daripada keluarga dan anak-anak kami, kerana keluarga kami mengingatkan kami kepada dunia, sedangkan teman-teman kami selalu mengingatkan kami kepada Akhirat.”
Di antara sifat mereka ialah mengutamakan orang lain. Hal ini merupakan salah satu di antara rukun baiah penyair Soleh Hayawi kepada mereka melalui ungkapan berikut :
“Selamanya aku selalu bersama orang-orang yang bertaqwa, bersama para da’i yang mengamalkan ilmunya,
Iaitu mereka yang menyebarkan panji Ahmad (Nabi saw) setinggi-tingginya di seluruh dunia,
Iaitu mereka yang bersikap objektif dan mengutamakan orang lain yang menjadi teman mereka,
Aku selalu bersama mereka, bersama orang-orang yang bertaqwa, iaitu para da’i kaum muslimin.”
Di antara sifat mereka ialah selalu memberi nasihat. Seseorang di antara orang soleh yang membantumu untuk mengamalkan agama Allah dan menasihatimu hanya kerana Allah.
Filed under: Dakwah dan Tarbiah
Inilah umat yang akan kita bangun : Ummatur_Risalah, umat yang datang dengan sebuah misi. Kerana terdiri dari sebuah komuniti maka Allah swt mengatakan : setelah proses pembentukan umat itu terjadi, maka umat ini harus dieksploitasi seluruh potensi dirinya untuk kepentingan kemanusiaan secara umum. Itu yang dimaksud dengan firman Allah :
“Kalian adalah Umat Terbaik yang dikeluarkan untuk umat manusia …”
(Aali Imran : 110)
Allah menggunakan kata Ukhrijat yang merupakan fi’il maadhi majhul. Ertinya dikeluarkan, bukannya kita yang ingin keluar, tapi dikeluarkan atau dialumnikan oleh Allah untuk kepentingan seluruh umat manusia. Dengan demikian umat ini harus memiliki satu peranan di dalam peradaban manusia yang namanya Ustaziyatul ‘Aalam. Menjadi tuan guru peradaban manusia. Dia menjadi model dari kehidupan terbaik masyarakat manusia.
Itulah umat yang kita inginkan. Bagaimanakah caranya pembentukan umat seperti itu?
Sekurang-kurangnya ada empat langkah yang harus kita lakukan :
Pertama : Membina base kepimpinan dan struktural dalam tubuh umat.
Kedua : Membina base sosial dan base massa.
Ketiga : Membina base institusi.
Keempat : Membangun negara.
Yang dimaksudkan dengan kaderisasi adalah proses paling pertama, iaitu membina base kepimpinan dalam tubuh umat. Dalam pandangan sosiologis, masyarakat itu sentiasa terdiri dari dua lapisan, iaitu lapisan pemimpin yang menjadi inti dari umat dan lapisan awam. Disamping itu muncul teori baru yang mengajukan lapisan ketiga yang disebut kelas menengah, iaitu kelas bukan awam dan kelas bukan pula kelas pemimpin, tetapi mempunyai peranan kunci dalam masyarakat.
Tetapi kita mengkategorikan semua adalah qiyadatul umat. Pemimpin-pemimpin dalam masyarakat. Proses membina pemimpin ini berbeza dengan proses membina orang awam. Waktu kita mengatakan kaderisasi, itu adalah suatu proses pembinaan yang intensif atau suatu proses engineering, proses konstruktif terhadap umat dengan cara memulai dengan membina unsur inti dari umat itu, iaitu pemimpin.
Begitulah Rasulullah saw membina para pemimpin. Cuba perhatikan keberhasilan Rasulullah saw dalam dakwahnya. Ketika berhijrah ke Madinah, baginda hanya diikuti oleh puluhan orang beriman. Akan tetapi ketika Rasulullah saw wafat, jumlah yang ikut bersama dalam haji wada adalah sekitar 125 000 orang. Cuba perhatikan! Dari puluhan sampai ke ratusan ribu orang.
Dari 125 000 orang ini, Ibnu Qayyim membuat kategoti. Dari 100 hingga 110 dikategorikan ulama. Kategori ulama ini dibahagi dalam 3 kategori : ulama besar, ulama menengah dan ulama kecil. Ibnu Qayyim menggunakan istilah almuktsiruna fil fatwa (yang paling banyak berfatwa), almutawasituna fil fatwa (yang pertengahan berfatwa) dan almuqiluna fil fatwa (yang paling sedikit berfatwa).
Yang dimaksudkan dengan almuktsiruna fil fatwa adalah yang apabila fatwa-fatwa mereka dikumpulkan akan menghasilkan sebuah buku yang sangat besar. Mereka ini jumlahnya hanya tujuh orang. Dua di antaranya adalah dari khulafa ar-Rasyidin iaitu Umar al-Khattab ra dan Ali bin Abi Talib ra. Tiga di antara meraka adalah mereka yang memiliki nama Abdullah, iaitu Ibnu Abbas ra, Ibnu Mas’ud ra dan Ibnu Umar ra. Sedangkan Abu Bakar ra dan Usman ra termasuk dalam kategori kedua.
Jadi dengan demikian masyarakat itu selalu memiliki inti, yang jumlahnya sedikit, itulah pemimpin. Untuk membina orang yang sedikit inilah yang menjadi masalah kita kita dan kerana itu jugalah caranya juga sangat berbeza.
Mari kita lihat konsepnya.
Membina seorang pemimpin bukanlah dengan cara memberikan mereka bahan-bahan atau seminar-seminar atau pengajian-pengajian. Ianya tidak akan mungkin dengan cara begitu. Medan aplikasi dari kepemimpinan itu adalah hidup secara langsung, iaitu kehidupan ini.
Oleh itu, kita melihat Rasulullah saw membina para sahabat 24 jam. Membina kembali pemikiran mereka, membina kembali mentaliti mereka, membina kembali sifat peribadi mereka. Mengisi akal mereka dengan ilmu. Mengisi hati dengan iman. Mengisi jiwa raga dengan kekuatan.
Jadi, para sahabat itu dibina kembali. Dibina kembali cara berfikir, dibina kembali mentaliti, dibina kembali tubuh badan, dibina kembali sifat peribadi mereka.
Seolah-olah melahirkan manusia baru.
Apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw itu boleh diistilahkan sebagai internal capacity building.
Oleh itu, untuk mempercepat proses pembangunan kapasiti internal ini tidak boleh dimulakan dengan orang biasa. Mereka harus dipilih, kerana tidak semua orang automatik akan menjadi pemimpin.
Sabda Rasulullah saw :
“Manusia itu seperti bahan galian (logam), yang terbaik di masa Jahiliyah adalah yang terbaik juga dalam Islam.”
Oleh itu, proses kaderisasi itu tidak boleh melalui sebuah proses pendaftaran. Tapi harus dilakukan sebuah proses pencarian; pemburuan. Mencari orang berbakat, seperti pencari bakat artis, kerana tidak semua orang boleh menjadi artis.
Cuba perhatikan bagaimana Rasulullah saw mencari bakat tersebut. Baginda saw tahu peta tokoh-tokoh masyarakat Jahiliyah. Rasulullah saw tahu bahawa Umar sangat memusuhi baginda, sebagaimana Abu Jahal (nama sebenarnya Amr bin Hisyam) . Akan tetapi Rasulullah saw selalu berdoa dalam doa-doanya :
“Ya Allah, jadikanlah salah satu dari Umar ini sebagai kunci kemenangan Islam.”
Yang pertama yang kita perlukan adalah data base tentang orang-orang yang ada sekitar kita, tokoh-tokoh yang ada sekitar kita yang menurut firasat kita adalah orang yang menyimpan atau memiliki bakat kepimpinan. Oleh kerana itu, proses kaderisasi adalah proses memfirasati orang. Itu sebabnya juga pengetahuan psikologi itu menjadi mutlak.
Sekarang yang melakukan prosedur itu semua dalah perusahaan-perusahaan bisness. Bila anda belajar tentang pengurusan sumber daya manusia, anda akan melihat bahawa perkara pertama yang mereka lakukan adalah proses reseatle orang. Setelah lulus pemilihan, mereka akan melalui training. Setelah itu, baru ada placement. Setelah itu, akan ada asessment lagi untuk menguji ketepatan. Proses tersebut mengambil masa yang lama, akan tetapi kerana itu, perusahaan bisness cepat berjaya.
Tetapi kita tidak melakukan itu semua. Itulah sebabnya banyak lombong-lombong emas dalam masyarakat kita yang tidak kita sentuh, kerana kita tidak melakukan pemburuan.
Setelah kita melakukan pemburuan tersebut, proses seterusnya ialah membina orang-orang itu. Yang dimaksudkan dengan pembinaan ialah pembinaan kembali keperibadian mereka, kerana orang orang ini akan mengalami suatu proses kehidupan yang berat, kerana mereka akan dibina untuk menjadi pemimpin.
Kita membina kembali pemikiran, mentaliti dan tubuh badan mereka. Oleh kerana itu, perkara pertama yang kita perlukan dalam proses pembinaan ialah model. Model orang yang kita inginkan iaitu para sahabat.
Kalau kita melihat kehidupan para sahabat Rasulullah saw, secara keseluruhannya mereka memiliki keperibadian yang saling melengkapkan. Saling melengkapkan dalam erti kata :
Kalau anda melihat dari sisi pengetahuan, pengetahuannya adalah ulama.
Kalau anda melihat dari sisi ibadah, ibadahnya ahli zuhud dan ahli sufi.
Kalau anda melihat dari sisi tubuh badan, tubuh badannya pejuang.
Anda akan menemui kesempurnaan seperti ini: ilmu yang luas dan mendalam, wawasan yyang luas, tsqafah yang luas, tubuh badan yang kuat, mental yang kuat dan ibadah yang banyak.
Itulah orang yang dilahirkan oleh Rasulullah saw.
Dan untuk membina orang-orang seperti ini memerlukan waktu yang lebih banyak.
Kalau kader seperti ini sudah terbina, akan terjadi sebuah kekuatan dalam inti masyarakat yang bernama magnet. Di sekitar magnet inilah kemudiannya masyarakat itu akan berkumpul. Ketika ini, kita melangkah ke tahapan kedua iaitu membina base sosial.
Dari base kepimpinan kepada base sosial, relatif jauh lebih mudah, kerana sudah ada model untuk di jadikan contoh dan umat sudah mempunyai pemimpin-pemimpin di medan yang sebenar.
Proses menokohan akan lebih cepat, lebih sederhana dan lebih mudah tentunya, insya allah. Proses sosialisasi gagasan juga menjadi lebih mudah. Ketika kita ingin membina base masyarakat, berbeza dengan membina base kepimpinan. Tahapnya jauh lebih rendah berbanding tahap hidup seorang pemimpin. Pengetahuannya rendah, tahap mentalitinya rendah, tahap ruhiyahnya rendah, tahap akhlak juga rendah.
Begitulah sunnatullah. Ketika ini kita mula boleh menggunakan beberapa wasail tarbiah jamahiriah (sarana-sarana pembinaan secara umum) seperti pengajian-pengajian, tabligh dan seterusnya. Itulah sarananya.
Malangnya sekarang, kita menyaksikan banyak yang menjadikan sarana-sarana tersebut untuk membina pemimpin, itu tidak mungkin sama sekali.
Sarana-sarana tersebut adalah sarana untuk menyedarkan masyarakat, sarana untuk mensosialisasikan ajaran-ajaran Islam kepada masyarakat. Kerana itu ianya bersifat longgar.
Akan tetapi kalau sarana tersebut digunakan oleh seorang kader, seorang pemimpin, seorang yang mempunyai pengetahuan, maka sarana tersebut akan mempunyai daya tarik dan pengaruh yang luar biasa.
Salah seorang ulama Islam bernama Abdurrahman Ibnu Jauzi yang sekali berceramah akan dihadiri sekitar 200 ribu orang. Bahkan pemimpin yang paling zalim sekalipun yang tidak pernah menangis bole menangis kalau menghadiri ceramah beliau. Sebabnya? Memang beliau ulama besar, ahli hadis, sejarahwan, faqih dan zuhud. Memang beliau pemimpin yang merupakan magnet.
Cuba kita perhatikan ceramah kita, kerana tidak mempunyai daya tarik pada intinya, daya tarik pada pemikirannya, daya tarik pada orang yang memberikannya – bukan ulama – bukan orang yang dibina untuk hal tersebut, maka kita mencari jalan lain untuk meramaikan ceramah kita. Maka diundanglah artis, diundanglah pelawak dan sebagainya. Oleh itu, tidak menghairankan ramai artis yang menjadi ustaz berceramah, bahkan ada sebahagian yang menjadi mufti. Bahkan ramai para ustaz kemudian menjadi para pelawak. Kenapa? Kerana memang itulah daya tariknya. Bukan pada inti ceramah, atau pemikiran atau ilmu. Tetapi pada caranya. Kita mendengarkan ceramah selama satu jam. Kemudian yang kita simpulkan bahwa tidak ada yang kita dapatkan.
Tetapi sekali lagi, proses pembinaan masyarakat jauh lebih mudah daripada proses membina pemimpin, kerana membina masyarakat itu teorinya sederhana. Masyarakat hanya mempunyai satu cara berfikir: namanya manfaat. Semua yang bermanfaat bagi mereka akan diterima oleh masyarakat. Oleh kerana itu, Rasulullah saw mengajarkan satu kaedah dalam bergaul dalam masyarakat :
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia.”
Jadi apabila kita ingin membina base sosial, kita tidak harus selalu berceramah, buatlah aktiviti yang bermanfaat bagi masyarakat..
Ketokohan dalam masyarakat juga sederhana. Masyarakat hampir tidak dapat membezakan antara yang benar dan yang menarik. Mereka lebih suka kepada semua yang menarik walaupun tidak benar, kerana itulah artis lebih popular dari ulama.
Oleh kerana itulah, dakwah kepada masyarakat harus menggabungkan dua hal sekaligus, iaitu unsur benar dan unsur menarik. Harus ada pesona pada kebenaran. Kerana menghadirkan kebenaran kepada masyarakat berbeza caranya dengan orang yang berbakat kepimpinan. Pemimpin tidak perlu pesona-pesona, kita yang mereka mahukan ialah hakikat. Tetapi masyarakat, kerana kenaifannya, tidak langsung boleh memahami kebenaran, harus ada penengahnya dengan cara yang lebih sederhana dan menarik.
Begitulah caranya kita membina pemimpin dan masyarakat. Kalau sudah berkumpul antara pemimpin dan masyarakat, masyarakat sudah berkumpul di sekitar magnet pemimpin, barulah kita berfikir tentang tahapan ketiga, iaitu membina base institusi.
Kita menganggap bahawa institusi adalah tahapan ketiga, kerana itu kita selalu menganggap parti, organisasi, yayasan, semuanya hanya sekadar sarana, tidak lebih dari itu. Kita tidak ada masalah dengan nama. Dalam bab ini, mungkin kita boleh mengambil pendapat Shakespeare : “Apalah ertinya sebuah nama.” Kerana yang penting dari sebuah institusi adalah kerjanya, visinya, misinya, strateginya. Bukan nama.
Setelah tahap ketiga, barulah kita masuk ketahap keempat – kalau institusi tersebut sudah kuat dan seterusnya, iaitu membangun negara.
Iaitu mengatur negara dengan cara Islam. Akan tetapi bukan syariat Islam yang biasa difahami, kerana itu cuma sebahagian syariat Islam yang sempurna. Hukum hudud itu kecil peratusnya dalam hukum Islam. Menurut as-Suyuti, dari 6666 ayat al-Quran hanya 500 ayat berkenaan hudud, bakinya ayat ilmu pengetahuan atau sejarah.
Jadi, ketika kita bercakap tentang mihwar daulah, yang kita maksudkan adalah bagaimana mengelola institusi ini dengan cara islam. Dari sistem pertahanan, sistem ekonomi, sistem pendidikan, sistem kebudayaan dan seterusnya..
Kalau ada yang meragukan kedudukan kolam renang, mall-mall dan panggung wayang ketika pembinaan negara Islam. Jangan takut.kalau negara sudah dikelola dengan cara Islam, kita akan membina kolam renang, mall-mall dan panggung wayang yang jauh lebih besar lagi.
Cuba fikirkan … agama mana yang memberikan pahala bagi mereka yang berenang? Hanya Islam. Jadi kita akan membina kolam renang sebanyak-banyaknya dan sebesar-besarnya. Bezanya hanya satu : ada kolam khusus untuk lelaki dan kolam khusus untuk perempuan.
Begitu juga panggung wayang … bezanya filem filem yang akan ditayangkan nanti.
Mall-mall juga begitu … bezanya, waktu solat semua harus tutup. Habis solat, buka balik.
Kemudian … ada beberapa polisi amar makruf nahi mungkar …
Filed under: Hadis
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Sabrah bin Fakih, bahawa Rasulullah saw bersabda :
إن الشيطان قعد لابن آدم بطرق :
فقعد له بطريق الاسلام قال : أتسلم وتترك دينك ودين آبائك؟ فعصاه وأسلم.
ثم قعد بطريق الهجرة ، فقال : أتهاجر؟ اتدع أرضك وسماءك؟ فعصاه وهاجر.
ثم قعد بطريق الجهاد ، فقال : أتجاهد وهو تلف النفس والمال ، فتقاتل فتقتل فتنكح نساؤك ويقسم مالك ؟ فعصاه وجاهد.
وقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : فمن فعل ذلك ، فمات كان حقا على الله أن يدخله الجنة.
“Sesungguhnya syaitan itu duduk untuk menghadang anak Adam (manusia) di beberapa jalan.
Ia duduk di jalan keislaman. Ia berkata kepada orang yang hendak memeluk Islam : Apakah engkau hendak memeluk Islam? Apakah engkau hendak meninggalkan agamamu sendiri dan agama nenek moyangmu?. Orang itu tidak menghiraukan seruannya lalu terus saja memeluk agama Islam.
Kemudian syaitan duduk di jalan Hijrah. Lalu berkata kepada orang yang berhijrah : Apakah engkau hendak berhijrah? Apakah engkau hendak meninggalkan bumi dan langitmu?. Orang itu tidak menghiraukan seruan sayiatan lalu terus berhijrah saja.
Kemudian syaittan duduk di jalan Jihad. Lau berkata kepada orang yang hendak berjihad: Apakah engkau hendak berjihad, padahal jihad itu bererti kebinasaan badan dan harta. Apakah engkau hendak berperang lalu engkau dibunuh, isterimu lalu kahwin lagi dan hartamu dibahagi-bahagi?. Orang itu tidak mengendahkan seruan syaitan lalu terus saja berjihad.
Selanjutnya Rasulullah saw bersabda : maka barang siapa yang melakukan demikian (yakni tidak mengikuti ajakan syaitan) kemudian meninggal dunia, maka haklah bagi Allah untuk memasukkannya ke dalam syurga.”