Filed under: Fi Zilal al-Quran
“… Dan untuk yang demikian, maka hendaknya orang berlumba-lumba”
(al-Muthafifin : 26)
Ungkapan ini amat mendalam dan mengandungi banyak erti, iaitu orang-orang yang curang yang makan harta orang lain secara haram dan tidak pernah terfikir bahawa mereka akan dihisab di Akhirat, malah mereka tidak percayakan Hari Hisab dan Balasan, dan hati mereka telah dikarati pula oleh dosa dan maksiat … Orang-orang seperti ini hanya berlumba-lumba untuk merebut harta kekayaan dan kenikmatan dunia yang sedikit. Setiap orang dari mereka berlumba untuk mendapat habuan yang sebanyak mungkin. Mereka sanggup melakukan kezaliman-kezaliman dan membuat kerja-kerja yang berdosa untuk mencapai kenikmatan dunia yang fana.
Sedangkan yang sebenarnya kenikmatan-kenikmatan yang sedikit ini tidak seharusnya dijadikan sasaran perlumbaan, kerana yang wajar dijadikan sasaran ialah kenikmatan dan kemuliaan di Akhirat.
“… Dan untuk yang demikian, maka hendaknya orang berlumba-lumba”
(al-Muthafifin : 26)
Itulah tujuan yang wajar direbut, dan itulah kemuncak dan matlamat yang wajar ditandingi dan dimenangi.
Orang-orang yang berlumba-lumba untuk sesuatu tujuan dunia biarpun bagaimana besar, mulia dan tinggi, bererti berlumba-lumba untuk sesuatu yang kecil, hinca, sedikit, fana dan dekat. Timbangan dunia di sisi Allah tidak seberat sayap nyamik, tetapi timbangan Akhirat di sisiNya adalah amat berat, kerana itu Akhiratlah yang seharusnya merupakan hakikat yang wajar dijadikan sasaran perlumbaan.
Yang menarik dalam perlumbaan untuk mencapai kenikmatan Akhirat ialah perlumbaan itu dapat meninggi dan meluhurkan jiwa seluruh para pelumbanya, sedangkan perlumbaan merebut kenikmatan dunia menjatuh dan merendahkan jiwa mereka semua. Usaha-uasaha untuk merebut kenikmatan Akhirat memberi kebaikan dan kemakmuran kepada bumi di samping membersihkannya untuk kebajikan semua orang, tetapi usaha-usaha untuk merebut kenikmatan dunia mengubah bumi kepada sebuah paya yang menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membunuh satu sama lain atau sarang serangga yang menggigit kulit-kulit orang yang baik dan jujur.
Perlumbaan untuk mendapatkan nikmat Akhirat tidak akan mengubah bumi menjadi negeri-negeri yang roboh dan runtuh sebagaimana digambarkan oleh setengah orang yang menyeleweng. Sesungguhnya Islam telah menjadikan dunia ini sawah bendang bagi Akhirat, dan menjadikan tugas memerintah bumi sebagai kewajipan yang sebenar para mukmin, dan menjadikan kegiatan pemerintahan itu sebagai ibadat kepada yang dapat merealitikan matlamat kewujudan mereka di alam ini sebagaimana firman Allah :
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu.”
(az-Zariat : 56)
Firman allah :
“… Dan untuk yang demikian, maka hendaknya orang berlumba-lumba”
(al-Muthafifin : 26)
Ayat diatas merupakan arahan untuk menarik pandangan dan hati penduduk bumi kepada alam yang wujud di sebalik bumi yang kecil dan kerdil ini ketika mereka sedang asyik membangun dan memerintah bumi ini, juga suatu arahan supaya mereka berusaha meningkatkan kehidupan bumi ini kepada taraf yang lebih bersih dari sebuah paya yang busuk ketika mereka sibuk membersihkan paya-paya di bumi.
Umur seseorang di dunia ini adalah terbatas, sedangkan umurnya di Akhirat tidak diketahui batas kesudahannya melainkan Allah, kenikmatan dunia juga terbatas, sedangkan kenikmatan syurga tidak dibataskan oleh kefahaman-kefahaman manusia. Taraf nikmat-nikmat dunia diketahui semua orang, sedangkan taraf nikmat-nikmat Akhirat sahaja yang layak kekal abadi. Alangkah jauhnya perbezaan di antara ruang hidup dunia dengan ruang hidup Akhirat, antara matlamat hidup dunia dengan matlamat hidup Akhirat. Perbezaan itu tidak dapat dihitungkan dengan kira-kira untung rugi biasa oleh manusia.
Oleh itu, perlumbaan sebenar ialah perlumbaan Akhirat.
***
Wahai orang yang menempuh jalan meuju Allah dan musafir yang berada dalam keretapi bersama para aktivis da’i. Anda harus berlumba adlam kebaikan dan bersegera dalam kebajikan. Jangan takut. Ketahuilah bahawa persaingan yang tercela adalah kedengkian yang tidak disyariatkan. Dengki adalah akhlak tercela dan jiwa pemiliknya sangat rendah. Ia mendengki kepada jiwa lainnya kerana kelemahan dan kehinaannya. Pendengki adalah musuh kenikmatan yang mengharapkan agar kenikmatan itu segera lenyap dari orang yang didengkinya. Sedangkan persaiangan yang terpuji adalah persaingan yang kadang kala dikatakan pula sebagai kedengkian yang disyariatkan kerana pernah disabdakan oleh Nabi :
“Tiada kedengkian selain pada dua hal : seorang yang diberi al-Quran oleh Allah dan dia membacanya pada malam dan siang, dan seorang yang diberi harta oleh Allah, lalu dia menginfakkannya pada malam dan siang hari.”
(Muttafaq alaihi)
Kedengkian yang disyariatkan ini kerap kali dinamakan ghibtah atau persaingan yang terpuji. Yakni, bersegera mencapai kesempurnaan yang Anda saksikan berada pada diri orang lain lalu anda bersaing dengannya hingga dapat mengejarnya atau melewatinya. Ini merupakan kemuliaan jiwa, kehendak yang tinggi dan keagungan peribadi seseorang. Allah berfirman :
“… Dan untuk yang demikian, maka hendaknya orang berlumba-lumba”
(al-Muthafifin : 26)
Asal kata tanafus (berlumba-lumba) adalah sesuatu yang nafis (berharga) dimana nufus (jiwa) sangat bergantung dan cinta kepadanya. Maka dua jiwa berlumba-lumba mendapatkan hal yang berharga itu, bahkan ia akan sangat bahagia jika anda ikut serta sebagaimana yang dilakukanoleh para sahabat, mereka berlumba dalam kebaikan dan masing-masing bahagia terhadap yang lain kerana keikutsertaan mereka, bahkan setiap dari mereka menasihati yang lain untuk ikut serta berlumba. Ini semacammusabaqoh (perlumbaan) sebagaimana firman Allah :
“Maka berlumba-lumbalah dalam kebaikan.”
( al-Maidah : 48 ) ( al-Baqarah : 148 )
Wahai orang yang menempuh jalan (menuju Allah), janganlah anda meneladani para pemalas dan penghalang itu, juga jangan melihat para penghamba dunia dan orang-orang yang terbelenggu olehnya. Singsingkan lengan baju, bulatkan tekad, bertawakkallah kepada Allah dan berlarilah selangkah demi selangkah menuju Allah.
Filed under: Dakwah dan Tarbiah
Ada beberapa hal yang menyebabkan umat kehilangan jati dirinya :
Pertama : Umat Islam jauh dari agamanya sendiri. Islam yang banyak dianut oleh majoriti masyarakat adalah Islam warisan, bukan Islam yang merupakan pilihan hidup. Hingga tidak banyak pengaruhnya dalam membentuk dan mewarnai kehidupan.
Kedua : Para ulama yang ada dalam tubuh umat belum mampu menjalankan fungsinya secara optima. Bahkan, tampak bahawa para ulama kita tidak berdaya memimpin umat ini. Dampaknya, umat Islam dalam menyikapi masalah politik, ekonomi misalnya, tidak lagi dipengaruhi oleh para ulama. Akan tetapi lebih banyak dipengaruhi media massa. Ini bererti, para ulama tidak lagi memimpin umatnya. Akhirnya umat pun berjalan tanpa pemimpin.
Ketiga : Kejayaan kaum imperalis dalam mengangkat para pemimpin Negara-negara Islam yang telah tersekularkan. Realiti membuktikan, hampir seluruh Negara-negara Islam dipimpin oleh anak bangsanya yang sekular. Sekular yang bukan hanya jauh dari agama, tapi (juga) memusuhi agama.
Sebagai contoh, bagaimana sikap negara-negara Islam terhadap invasi Amerika ke Afghanistan. Rata-rata bersikap mendua : Pemerintahannya mendukung serangan, sedangkan rakyatnya membela saudaranya. Jadi, sebagai satu kesatuan, umat Islam terpecah-belah antara rakyat dan pemerintah. Meskipun pemerintah terdiri dari orang-orang Islam, tapi tetap menunjukkan bahawa kendali kepemimpinannya masih ada di tangan penjajah.
Keempat : Adanya usaha-usaha yang sistematik yang dilakukan negara-negara besar untuk mendominasi seluruh negara Islam dan menyebarkan nilai-nilai kehidupan mereka ke dalam kehidupan umat Islam.
Filed under: Hadis
“Sabda Rasulullah saw :
“Apabila kamu melihat kekikiran yang diperturutkan, hawa nafsu yang diumbar, dunia yang diutamakan dan ketakjuban setiap orang yang mempunyai pendapat terhadap pendapatnya, maka selamatkanlah dirimu.”
(Hadis Hasan riwayat Tarmizi)
Ini adalah sejumlah penyakit yang apabila muncul, maka tidak akan ada kehidupan berjamaah dan kegiatan bersama. Oleh sebab itu, Rasulullah saw menfatwakan kepada siapa saja yang menemui hal tersebut agar melakukan uzlah. Padahal Rasulullah saw sangat dan sering menganjurkan hidup berjamaah, bersatu, saling tolong menolong dalam kebaikan. Dari sini kita mengetahui bahawa ujub, kekikiran, cinta dunia dan memperturutkan hawa nafsu bagi kehidupan dunia secara umum dan kehidupan Islami secara khusus.
Bersamaan dengan ujub akan muncul redha kepada hawa nafsu. Redha kepada hawa nafsu akan mengakibatkan banyak kekurangan dan penyakit seperti ghurur (terpedaya dengan diri sendiri), meremehkan orang lain, menghendaki berbagai pangkat dan lain sebagainya. Sehingga Ibnu Atha’illah as-Sukandari menganggap redha kepada hawa nafsu sebagai pangkal segala bencana.
Ibnu Atha’illah berkata : “Pangkal setiap kemaksiatan dan kelalaian adalah redha pada hawa nafsu, sedangkan pangkal setiap ketaatan, kesadaran dan iffah adalah tidak redha pada hawa nafsu. Anda bersahabat dengan orang bodoh yang tidak redha pada hawa nafsu adalah lebih baik dari anda bersahabat dengan orang pandai yang redha pada hawa nafsunya. Apa gunanya ilmu bagi orang pandai yang redha pada hawa nafsu dan apa celanya kebodohan orang bodoh yang tidak redha pada hawa nafsunya.”
Dari sini kita mengetahui bahaya penyakit hawa nafsu atas kehidupan umat manusia secara umum dan kehidupan Islami secara khusus, juga segala bentuk amal jama’i.
Bila bahaya ujub, kekikiran, cinta dunia dan memperturutkan hawa nafsu atas kehidupan berjamaah telah ditegaskan oleh nas syariah, maka menjadi kewajipan setiap Muslim untuk membebaskan dirinya dari hal-hal seperti ini. Dan ini sekaligus menegaskan perlunya kajian-kajian seperti ini.
Mengagumi pendapat sendiri harus diubati dengan tunduk kepada syura.
Mempertururkan hawa nafsu harus diubati dengan mengikut nas-nas syariah.
Kekikiran yang diperturutkan diubati dengan kedermawanan.
Cinta dunia diubati dengan mengingatkan akhirat dan beramal untuk menghadapinya.
Filed under: Fi Zilal al-Quran
“Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.”
(al-Fatihah : 1)
Walaupun ada khilaf mengenai ayat ini, apakah ia merupakan satu ayat dalam setiap surah atau ia merupakan satu ayat al-Quran yang dimulakan dengannya ketika membaca setiap surah, namun menurut pendapat yang arjah (terkuat), ia adalah satu ayat di dalam Surah al-Fatihah dan denganya ia dikirakan tujuh ayat. Dan di sana ada suatu pendapat yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan firman Allah ‘Azza wa Jalla :
“Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadamu tujuh ayat dari ayat-ayat yang diulang-ulang bacaannya dan al-Quran yang agung.”
(al-Hijr : 87)
ialah Surah al-Fatihah yang disifatkan sebagai surah yang mempunyai tujuh ayat dan sebagai “al-Matsani” kerana ianya diulang-ulangkan bacaannya di dalam solat.
Memulakan sesuatu dengan “nama Allah” itu merupakan satu adab cara yang diwahyukan oleh Allah swt kepada RasulNya dalam ayat pertama yang diturunkan kepada beliau dengan ittifaq (persetujuan) para ulama iaitu :
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.”
(al-Alaq : 1)
Adab cara ini amat sesuai dengan dasar kefahaman Islam yang agung, yang menganggapkan Allah swt bersifat Maha Awal dan Maha Akhir, Maha Zahir dan Maha Batin. Allah swt adalah Zat yang maujud (ada) yang sebenar dan seluruh maujud (perkara yang ada) yang lain mendapat kewujudan Allah dan segala permulaan yang lain adalah berpangkal dari kewujudan Allah, kerana itu amatlah wajar segala permulaan, segala harakat atau tindakan dan segala tujuan itu dimulakan dengan namaNya.
Allah swt menyifatkan diriNya di permulaan dengan sifat ar-Rahman (Maha Penyayang) dan ar-Rahim (Maha Pengasih) iaitu dua sifat yang mencakup segala pengertian, kasih sayang dan kasihan belas dan segala keadaannya. Hanya pada Allah swt sahaja terkumpul dua sifat ini. Begitu juga hanya Allah swt sahaja yang wajar disifatkan dengan ar-Rahman. Mana-mana hamba Allah boleh disifatkan dengan sifar ar-Rahim dari segi kepercayaan dan lebih tidak wajar lagi dikembarkan kedua-dua sifat itu padanya.
Walaupun terdapat perselisihan tentang pengertian dua sifat ini, iaitu manakah di antara keduanya yang mempunyai pengertian kasih sayang dan kasihan belas yang lebih luas, namun perselisihan itu bukanlah dari perbahasan yang kita hendak bicarakan dengan terperinci dalam Tafsir Fi Zilal ini, malah kita hanya membuat kesimpulan sahaja dari perbahasan itu bahawa kedua-dua sifat ar-Rahman dan ar-Rahim adalah meliputi segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas, juga meliputi segala keadaan dan bidangnya.
Jika memulakan sesuatu dengan nama Allah yang mengandungi maksud mentauhidkan Allah dan beradab sopan denganNya itu merupakan dasar pokok dalam kefahaman Islam, maka pencakupan segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas dengan segala keadaan dan bidangnya dalam dua sifat ar-Rahman dan ar-Rahim itu merupakan dasar yang kedua di dalam kefahaman ini, dan ia juga menggariskan hakikat hubungan yang wujud di antara Allah dengan para HambaNya.
Filed under: Fi Zilal al-Quran
23. “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang engkau kehendaki) : Aku tetap melaksanakannya besok …”
24. “Melainkan disertai dengan menyebut “Insya Allah” dan kenangkan Tuhanmu jika engkau terlupa dan berdoalah : Semoga Allah memberi petunjuk kepadaku ke jalan yang lebih dekat dari ini.”
(al-Kahfi : 23-24)
Setiap gerak dan setiap diam, malah setiap nafas dari nafas-nafas hidup adalah tergantung kepada iradat Allah swt. Tabir ghaib yang dilabuhkan itu adalah melindungi segala sesuatu di sebalik detik yang wujud sekarang ini, dan mata manusia juga tidak dapat menjangkau di sebalik tabir yang dilabuhkan itu dan ia tetap lemah biar pun bagaimana banyak ilmunya. Oleh itu janganlah berkata, “Aku tetap akan melaksanakannya besok”, kerana hari esok adalah dari urusan ghaib dan tabir urusan ghaib Allah melindungkan akibat-akibat sesuatu.
Arahan ini bukanlah bertujuan supaya seorang itu duduk mendiamkan diri sahaja tanpa memikir dan merancang masa depannya dan supaya dia hidup di atas asas sehari demi sehari atau untuk sesaat demi sesaat sahaja atau supaya dia jangan menyambungkan masa hidupnya yang silam dengan masa hidupnya sekarang dan masa hidupnya yang mendatang. Tidak sekali-kali, tetapi tujuannya yang sebenar ialah supaya dia turut membuat perhitungan kepada perkara yang ghaib dan mengambil kira kehendak iradat Allah swt yang mentadbirkannya, juga supaya dia berpegang kukuh kepada keputusan yang telah diazamkannya dan memohon pertolongan kepada kehendak/masyiah Allah swt untuk menjayakan apa yang telah diazamkannya itu serta menyedari bahawa kuasa Allah swt mengatasi kuasanya. Oleh kerana itu janganlah dia merasa mustahil bahawa tadbir Allah swt berlainan dengan perancangannya. Andainya dia berjaya melaksanakan apa yang telah diazamkan, (maka hendaklah dia bersyukur) dan andainya kehendak/masyiah Allah swt berlainan dari apa yang dirancangkannya, maka janganlah dia bersedih dan berputus asa, kerana seluruh urusan itu di bawah kuasa Allah swt awal dan akhir.
Seseorang harus berfikir dan merancang, tetapi dia harus sedar bahawa dia hanya boleh berfikir dan merancangkan (dengan betul) dengan pertolongan dan taufiq dari Allah swt, dan dia tidak berupaya berfikir dan merancang melainkan dengan daya-daya berfikir dan merancang yang dikurniakan Allah swt kepadanya. Sikap ini tidak akan membawa seseorang kepada kemalasan, kelengahan dan kelemahan-kelemahan, malah sebaliknya ia membekalkannya dengan keyakinan, kekuatan, ketenteraman dan keazaman yang kukuh. Oleh itu apabila tersingkapnya tabir ghaib yang menunjukkan bahawa tadbir Allah swt itu berlainan dari perancangannya, maka hendaklah dia menerima keputusan Allah swt itu dengan penuh keredhaan, ketenangan dan penyerahan diri, kerana itulah keputusan asal yang tidak diketahui olehnya dan baru sekarang disingkapkan tabirnya.
Inilah methodologi Islam yang menguasai hati seorang muslim, oleh kerana itu dia tidak merasa keseorangan dan kesepian apabila dia berfikir dan merancang, tidak merasa angkuh dan sombong apabila dia berjaya dan tidak merasa putus asa apabila dia gagal, malah tetap berhubung dengan Allah swt dalam segala keadaan, tetap bergantung kepadaNya, bersyukur kepada taufiqNya dan tetap menerima qadha dan qadarNya tanpa angkuh dan putus asa.
24. “…dan kenangkan Tuhanmu jika engkau terlupa …“
Maksudnya, apabila engkau lupa kepada arahan dan pedoman ini, maka hendaklah engkau ingat kepada Allah swt dan kembali kepadanya.
24. “…dan berdoalah : Semoga Allah memberi petunjuk kepadaku ke jalan yang lebih dekat dari ini.”
Yakni ke jalan yang lebih dekat yang sentiasa menghubungkan hatinya dengan Allah dalam segala pekerjaan yang hendak dilakukannya dan segala jalan yang hendak ditujukannya.
Kata-kata “semoga” dan kata-kata “lebih dekat” digunakan disini untuk menunjukkan betapa tingginya maqam ini dan betapa perlunya seseorang itu berusaha secara berterusan untuk mencapaikannya dalam semua keadaan hidupnya.