بسم الله الرحمن الرحيم


Surah al-Baqarah : 183-185 – Puasa (…).
September 3, 2008, 5:08 am
Filed under: Fi Zilal al-Quran

1. Dari Jabir ra katanya : “Rasulullah saw telah keluar menuju ke Mekah dapat tahun Penaklukan Mekah di dalam bulan Ramadhan, lalu beliau berpuasa hingga sampai kepada Kura’i al-Ghamim dan orang ramai (para sahabat) pun turut berpuasa. Kemudian beliau meminta semangkuk air lalu beliau mengangkatnya supaya dilihat oleh orang ramai kemudian beliau terus meneguk air itu. Selepas itu ada orang memberitahu kepada beliau ada setengah-setengah orang (sahabat) terus berpuasa lalu beliau bersabda : “Mereka adalah orang-orang yang melanggar perintah, mereka adalah orang-orang yang melanggar perintah.”

(Riwayat Muslim dan Tarmizi)

2. Dari Anas ra katanya : “Kami bersama Nabi saw dalam satu persafiran, di antara kamu ada yang berpuasa dan ada yang berbuka. Kemudian kamu berhenti di suatu tempat perhentian pada hari panas terik. Orang yang paling banyak mendapat teduhan ialah orang yang mempunyai kain. Di antara kami ada yang mengadang matahari dengan tangannya menyebabkan orang-orang yang berpuasa rebah dan gugur dan orang-orang yang berbuka sahaja dapat berdiri lalu mereka mendiri khemah-khemah dan memberi minum kepada pada penunggang lalu Nabi bersabda : “Orang-orang yang berbuka puasa pada hari ini telah membolot pahala.”

(RIwayat Bukhari dan Muslim serta an-Nasai)

3. Dari Jabir ra katanya : “Adalah Nabi saw berada dalam persafiran lalu beliau melihat seorang lelaki sedang dikerumuni oleh orang ramai dalam dipasangkan peneduh diatasnya, beliau pun bertanya : “Mengapa orang itu?” Jawab mereka : “Seorang lelaki berpuasa.” Lalu Rasulullah saw bersabda : “Bukanlah dari ketaatan berpuasa dalam persafiran.”

(Riwayat Malik, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasai)

4. Dari Amru bin Umaiyah ad-Dhamri ra katanya : “Aku datang hendak menemui Rasulullah saw dari satu persafiran lalu beliau bersabda : “Tunggulah makan tengahari wahai Abu Umaiyah.” Aku menjawab : “Hamba berpuasa wahai Rasulullah.” Beliau pun membalas : “Jika begitu aku hendak terangkan kepadamu hukum orang musafir : Sesungguhnya Allah taala telah menggugurkan puasa dari orang-orang musafir dan menggugurkan separuh solat.”

(Riwayat an-Nasai)

5. Dari seorang lelaki dari Bani Abdullah ibn Kaab ibn Malik namanya ialah Anas ibn Malik katanya : “Sabda Rasulullah saw : “Sesungguhnya Allah taala telah menggugurkan separuh solat dari orang musafir dan membenarkan berbuka puasa, juga membenarkan berbuka puasa kepada perempuan-perempuan penyusu dan mengandung apabila kedua-duanya bimbang kepada kesihatan anak-anak mereka.”

(Riwayat Ashabus-Sunan)

6. Dari Aisyah ra katanya : “Hamzah ibn Amru al-Aslami telah bertanya kepada Rasulullah saw mengenai hukum berpuasa di dalam persafiran (dan dia adalah seorang yang banyak berpuasa) jawab beliau : : “Jika engkau suka engkau boleh berpuasa dan jika engkau suka engkau boleh berbuka.”

(Riwayat Malik, Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan an-Nasai)

7. Dari Anas ra katanya : “Kami bersama-sama Rasulullah saw (dalam satu persafiran) di antara kamu ada yang berpuasa dan ada yang berbuka, orang yang berpuasa tidak mencela orang yang berbuka dan orang yang berbuka tidak mencela orang yang berpuasa.

(Riwayat Malik, Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

8. Dan dari Abu Darda ra katanya : “Kami keluar bersama Rasulullah saw di dalam bulan Ramadhan dalam panas yang amat terik sehingga seseorang dari kami meletakkan tangan di atas kepalanya kerana terlalu panas dan tiada siapa yang berpuasa dalam kalangan kami kecuali Rasulullah saw dan Ibn Rawahah ra.

(Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

9. Dan dari Muhammad ibn Kaab katanya : “Aku datang menemui Anas ibn Malik ra dalam bulan Ramadhan. Dia hendak musafir dan kenderaannya telah disiap-sediakan dan dia telah memakai baju musafir kemudian dia meminta makanan lalu dia makan, maka aku pun bertanya : “Adakah ini sunat?” Jawabnya : “Ya.” Kemudian dia menaiki kenderaannya.”

(Riwayat Tarmizi)

10. Dan dari Ubayd ibn Jubayr ra katanya : “Aku bersama Abu Basrah al-Ghifari sahabat Rasulullah saw dalam sebuah kapal (yang berlayar) dari Fustat (Mesir tua) menuju Iskandariah di dalam bulan Ramadhan lalu bertolak dari (pelabuhan) kemudian diperdekatkan hidangan makan tengaharinya lalu dia berkata : “Marilah dekat makanan ini.” Aku pun berkata : “Tidakkah anda masih nampak rumah-rumah?” (Yakni perjalanan kapal mereka masih dekat dan belum melewati rumah-rumah kediaman bandar itu). Dia menjawab : “Adakah anda tidak suka kepada sunnah Rasulullah saw?” Lalu dia pun makan dan aku turut makan.”

(RIwayat Abu Daud)\

11. Dan dari Mansur al-Kalbi bahawa Dihyah ibn Khalifah ra keluar dari sebuah kampung di Damsyik hingga setakat kampung Aqabah dari bandar itu, iaitu sejauh tiga batu di dalam bulan Ramadhan lalu dia pun berbuka dan ramai orang turut berbuka bersamanya dan ramai pula orang yang tidak suka berbuka. Apabila dia pulang ke kampungnya dia pun berkata : “Demi Allah, hari ini telah melihat suatu perkara yang aku tidak sangka-sangka dapat melihatnya, iaitu ada sekumpulan manusia yang tidak suka kepada sunnah Rasulullah saw dan para sahabatnya. Ya Allah, ambillah nyawaku kepadaMu.”

(Riwayat Abu Daud)



Surah al-Baqarah : 183-185 – Puasa (iii).
September 3, 2008, 3:38 am
Filed under: Fi Zilal al-Quran

Satu lagi galakan menunaikan fardhu puasa bagi orang yang sihat dan bermukim ialah puasa itu ialah puasa Ramadhan, iaitu bulan diturunkan al-Quran. Samada dengan pengertian bahawa permulaan turunnya al-Quran itu berlaku di dalam bulan Ramadhan atau dengan pengertian bahawa kebanyakkannya diturunkan di dalam bulan Ramadhan.

Al-Quran ialah kitab suci umat Muslimin yang kekal. Kitab inilah yang mengeluarkan mereka dari kegelapan-kegelapan kesesatan kepada nur hidayah. Ia membentuk mereka sebegini rupa, menukarkan keadaan mereka dari ketakutan kepada keamanan, memberi kepada mereka kedudukan yang kuat di muka bumi, memberi kepada mereka asas-asas yang dapat menjadikan mereka satu umat, sedangkan dulunya mereka tidak menjadi apa-apa. Tanpa asas-asas ini mereka tidak dapat menjadi satu umat. Mereka tidak akan mempunyai tempat di muka bumi ini dan tidak akan disebut-sebut di langit.

Oleh itu sekurang-kurangnya, mereka harus bersyukur terhadap nikmat al-Quran ini dengan menyambut perintah berpuasa di bulan turunnya al-Quran itu :

185 – “(Masa puasa itu ialah) bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai hidayah kepada manusia dan sebagai penjelasan-penjelasan yang menerangkan hidayah dan perbezaan antara yang benar dan yang batil. Oleh itu, barang siapa di antara kamu melihat anak bulan Ramadhan, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu dan barang siapa yang sakit atau di dalam persafiran, maka wajiblah ia berpuasa (qodho sebanyak hari yang ditinggalkan itu) pada hari-hari yang lain …”

Inilah ayat yang mewajibkan puasa dan memansuhkan rukhsah berbuka dan fidyah bagi orang yang sihat dan bermukim kecuali bagi orang tua lelaki dan perempuan sebagaimana telah diterangkan sebelum ini :

185 – “… barang siapa di antara kamu melihat anak bulan Ramadhan, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu …”

Maksudnya sesiapa di antara kamu yang berada di bulan itu dan tidak musafir atau sesiapa di antara kamu yang melihat anak bulan Ramadhan itu dan orang yang yakin melihat anak bulan Ramadhan dengan mana-mana cara yang lain adalah sama seperti orang yang melihatnya sendiri dari segi ia wajib berpuasa pada hari-hari bulan Ramadhan itu.

Oleh kerana kenyataan ini merupakan satu nas yang umum, maka ayat seterusnya mengecualikan orang yang sakit dan orang yang musafir :

185 – “… dan barang siapa yang sakit atau di dalam persafiran, maka wajiblah ia berpuasa (qodho sebanyak hari yang ditinggalkan itu) pada hari-hari yang lain …”

Galakan ketiga ke arah menunaikan fardhu puasa dan kenyataan rahmat Allah dalam taklif dan rukhsah itu ialah :

185 – “… Allah mahukan kamu mendapat kemudahan dan tidak mahu kamu menanggung kesulitan …”

Ini merupakan dasar agung di dalam taklif-taklif agama ini seluruhnya, iaitu seluruh taklif itu mudah dan tidak ada sebarang kesulitan, dan taklif-taklif itu menyarankan kepada hati yang telah mengecapi kemanisannya perasaan mudah dan selesa dalam menjalani kehidupan. Ia menerapkan ke dalam jiwa seseorang Muslim perasaan lapang dada yang tidak dirasa sebarang keberatan dan kerumitan, iaitu perasaan lapang dada yang dapat melaksanakan semua taklif, semua fardhu dan semua kegiatan hidup yang serius itu dengan selesa seolah-olah seperti air yang mengalir, dan seolah-olah seperti kesuburan pokok yang kian meninggi dengan penuh ketenangan, keyakinan dan kerelaan, di samping sentiasa menghayati perasaan mendapat rahmat Allah dan iradatNya yang mahukan kemudahan bukannya kesulitan terhadap para hambaNya yang mukmin.

Ayat ini mewajibkan puasa ganti ke atas orang yang musafir dan orang yang sakit pada hari-hari yang lain supaya orang yang terpaksa berbuka itu dapat menyempurnakan bilangan hari-hari bulan puasa dan tidak luput pahalaNya :

185 – “… Dan hendaklah kamu sempurnakan bilangan hari puasa …”

Berpuasa secara ini merupakan satu nikmat yang wajar dibalas dengan takbir dan kesyukuran :

185 – “… Dan hendaklah kamu mentakbirkan Allah di atas hidayat yang telah dikurniakan kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.”

Inilah salah satu dari matlamat-matlamat fardhu puasa, iaitu orang-orang yang beriman itu dapat menyedari nilai hidayah yang telah ditaklifkan Allah kepada mereka dan mereka akan dapati kesedaran ini dalam hati mereka dalam masa berpuasa, iaitu lebih banyak daris egala masa yang lain.

Hati mereka terhalang dari memikirkan perkara-perkara maksiat dan anggota-anggota mereka tersekat dari melakukan maksiat kerana mereka benar-benar merasa dan menyedari nilai hidayah itu. Kerana itu hendaklah mereka mentakbirkan Allah yang telah menganugerahkan hidayah ini dan hendaklah mereka bersyukur kepada Allah terhadap nikmat ini dan seterusnya hendaklah hati mereka kembali kepada Allah dengan ketaatan ini sebagaimana Allah menyebut kenyataan berikut kepada mereka di permulaan perbicaraan mengenai ibadah puasa :

183 – “… supaya kamu bertaqwa.”

Demikianlah dapat dilihat dengan jelas nikmat Allah yang wujud di dalam taklif puasa yang pada lahirnya kelihatan menyulitkan dan memenatkan badan dan jiwa, juga dapat dilihat dengan jelas matlamat pendidikan ibadat puasa dan tujuan di sebalik puasa yang mahu menyediakan kaum muslimin untuk memainkan peranan mereka yang besar dan kerana peranan inilah mereka dilahirkan ke dunia supaya mereka melaksanakan peranan itu dengan sempurna di bawah kawalan taqwa, pengamatan Allah dan kepekaan hati nurani mereka.



Surah al-Baqarah : 183-185 – Puasa (ii).
September 2, 2008, 6:09 am
Filed under: Fi Zilal al-Quran

Kemudian marilah kita kembali menyempurnakan huraian ayat :

184 – “… Dan wajib atas orang-orang yang terdaya puasa (tetapi meninggalkan puasa kerana keberatan) membayat fidyah, iaitu memberi makan kepada orang-orang miskin dan barang siapa dengan sukarela memberi makan (melebihi kadar yang ditentukan), maka itulah yang lebih baik baginya. (Namun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (dari membayar fidyah) jika kamu mengetahui.”

Pada mulanya taklif puasa merupakan satu taklif yang menyulitkan orang-orang Islam. Ia difardhukan pada tahun yang kedua Hijrah tidak lama sebelum jihad. Oleh kerana itu Allah memberi rukhsah meninggalkan puasa kepada orang yang terdaya mengerjakan puasa dengan keberatan.

Inilah pengertian dari kata-kata “yutiqunahu” iaitu berdaya mengerjakan puasa dengan penuh kesulitan dan keberatan.

Allah memberi rukhsah kepada orang ini berbuka puasa serta mewajibkannya memberi makan kepada seorang miskin kemudian Allah menggalakkan mereka secara umum memberi makan dengan sukarela kepada orang-orang miskin, iaitu samada memberi makan secara sukarela secara fidyah atau membanyakkan pemberian makan itu melebihi had fidyah seperti memberi makan kepada dua, tiga atau lebih orang-orang miskin bagi setiap hari dari hari-hari ia meninggalkan puasa di dalam bulan Ramadhan.

Kemudian Allah menggalakkan mereka supaya memilih berpuasa walaupun menghadapi kesulitan dan keberatan – selain dari masa persafiran dan sakit :

184 – “… (Namun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (dari membayar fidyah) jika kamu mengetahui.”

kerana di dalam amalan berpuasa dalam keadaan ini terdapat suatu kebaikan. Yang nampak jelas kepada kita ialah puasa itu merupakan satu unsur untuk mendidik iradat kemahuan dan untuk menguatkan daya ketahanan, juga mengutamakan ibadat kepada Allah dari kerehatan. Semuanya ini merupakan unsur-unsur yang dikehendaki di dalam pendidikan Islamiyah, sebagaimana jelas kepada kita bahawa puasa ini memberi faedah-faedah kesihatan – bagi orang yang sakit – walaupun orang yang berpuasa itu merasa letih, lesu dan sulit.

Walau bagaimanapun perintah ini merupakan langkah pertama ke arah pengangkatan rukhsah berbuka dari orang yang sihat dan bermukim dan mewajibkan puasa secara menyeluruh sebagaimana akan diterangkan selepas ini, dan rukhsah ini dikekalkan kepada orang yang tua yang sulit untuk berpuasa dan tidak diharapkan lagi bahawa ia akan kekal berada dalam satu keadaan yang membolehkannya untuk mengqodhokan puasa itu.

Imam Malik telah mengeluarkan suatu riwayat yang menyatakan dia telah menerima cerita bahawa Anas bin Malik ra telah meningkat ke usia yang sangat tua sehingga ia tidak berkuasa berpuasa lalu ia mengeluarkan fidyah.

Ujar Ibnu Abbas pula : Ayat ini bukannya mansukh,  malah ia kekal kepada orang tua lelaki dan perempuan yang tidak berkuasa berpuasa dan bolehlah kedua-duanya memberi makan seorang miskin bagi setiap hari ia berbuka.

Dari Ibnu Abi Laila katanya : “Aku masuk menemui ‘Ato di dalam bulan Ramadhan dan ia sedang makan lalu ia berkata : ” Ujar Ibnu Abbas : “Ayat ini turun lalu memansuhkkan ayat yang pertama kecuali kepada orang yang sangat tua, maka bolehlah baginya, jika ia suka, memberi makan kepada orang miskin pada setiap hari dan berbuka.

Jadi pemansukhan itu tsabit bagi orang yang sihat dan bermukim dengan ayat yang berikut :

185 – “… Barang siapa di antara kamu yang melihat anak bulan Ramadhan, maka hendaklah ia berpuasa …”



Surah al-Baqarah : 183-185 – Puasa (i).
September 2, 2008, 2:44 am
Filed under: Fi Zilal al-Quran

183 – “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertaqwa.”

Allah swt mengetahui bahawa perlaksanaan taklif itu merupakan suatu perkara, yang mana jiwa manusia memerlukan kepada pertolongan, dorongan dan rangsangan biar bagaimana besar sekalipun hikmat dan faedah yang terkandung di dalam taklif itu hingga jiwa manusia yakin dan merelakannya.

Oleh sebab itulah al-Quran memulakan taklif itu dengan menggunakan seruan yang mesra kepada para Mukminin, iaitu seruan yang mengingatkan kepada hakikat mereka yang semulajadi, dan selepas seruan itu barulah ia menjelaskan bahawa ibadat puasa itu merupakan satu fardhu yang tua yang diwajibkan ke atas para Mukminin dalam semua agama, dan matlamat utama dari ibadat itu ialah menyediakan hati mereka untuk diisikan dengan taqwa, perasaan yang jernih, hening, kesedaran yang peka dan rasa takut kepada Allah.

Demikian ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredhaanNya.

Taqwa itulah yang mengawal hati dari kerosakan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di hati. Orang-orang yang dihadapkan ayat-ayat al-Quran ini kepada mereka sedar betapa tingginya maqam taqwa di sini Allah dan betapa berat timbangannya di dalam neraca Allah.

Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka, dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah satu jalan yang menyampaikan taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengangkat taqwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa.

Kemudian, sebagai langkah yang kedua ia menjelaskan bahawa puasa itu difardhukan pada hari-hari tertentu sahaja, bukannya difardhukan sepanjang umur dan sepanjang masa, dan di samping itu orang-orang yang sakit pula di maafkan dari berpuasa sehingga mereka sihat. Begitu juga orang-orang yang sedang musafir sehingga mereka bermuqim. Ini ialah untuk memberi keringanan dan kemudahan kepada mereka :

184 – “(Iaitu berpuasa) pada sebilangan hari yang tertentu. Jika di antara kamu ada yang sakit atau di dalam persafiran (lalu ia berbuka) maka wajiblah ia berpuasa (sebanyak hari yang dibuka) pada hari-hari lain …”

Pengertian sakit dan musafir mengikut zahir nas ini adalah umum dan tidak terbatas. Apa sahaja sakit dan apa sahaja musafir mengharuskan berbuka tetapi wajib diqodhokannya apabila sakit itu sihat dan musafir itu bermukim.

Pengertian umum ini adalah lebih wajar di dalam memahami nas al-Quran yang mutlak atau umum ini dan ia lebih dekat kepada konsep Islam dalam menghapuskan kesulitan dan menahan kemudharatan. Jadi, hukum harus berbuka bukannya tertakluk kepada sakit yang berat dan persafiran yang sukar, malah ia tertakluk kepada sebarang sakit dan persafiran umumnya kerana Allah mahu memberi kemudahan kepada manusia bukannya kesulitan.

Kita (manusia) tentulah tidak mengetahui segala hikmah Allah yang menggantungkan – secara umum – hukum harus berbuka puasa itu dengan apa sahaja sakit dan persafiran itu. Mungkin di sana terdapat pertimbangan-pertimbangan yang lain yang hanya diketahui oleh Allah dan tidak diketahui oleh manusia mengenai sakit dan persafiran itu. Mungkin di sana ada kesulitan-kesulitan yang lain yang tidak nampak pada masa itu atau tidak ternyata kepada penilaian manusia.

Selama Allah tidak menerangkan ‘illat (sebab) hukum itu, maka kita tidak usah mentakwilkannya, malah kita patuh dan taat kepada nas-nas itu walaupun hikmatnya tidak ternampak oleh kita kerana di sebalik nas-nas itu tentulah ada hikmah-hikmahnya dan tidak semestinya kita dapat memahaminya.

Tinggal lagi pendapat ini ditakuti ada orang-orang yang akan mengambil rukhsah atau kebenaran berbuka itu dengan cara yang terlalu mudah dan dikhuatirkan ibadat-ibadat itu akan diabaikan oleh manusia dengan sebab-sebab yang amat kecil. Inilah sebabnya yang mendorong para fuqaha mengenakan syarat yang ketat dan berat.

Tetapi sebab tersebut, pada hemat saya (Sayyid Qutb) tidak membolehkan kita menjadikannya sebagai alasan untuk mengadakan ikatan atau sekatan dalam hukum-hukum yang dijelaskan oleh nas secara umum, kerana agama tidak menarik menusia kepada ketaatan dengan menggunakan tali rantai, malah ia menarik mereka dengan kesedaran taqwa, sedangkan matlamat utama puasa itu ialah taqwa.

Orang yang cuba melepaskan dirinya dari menunaikan fardhu puasa dengan berlindung di sebalik tirai rukhsah atau kebenaran berbuka adalah orang yang tidak mempunyai apa-apa kebaikan dari awal-awal lagi, kerana (taqwa yang menjadi) matlamat utama dari penunaian fardhu puasa ini tidak tercapai.

Agama ini adalah agama Allah, bukannya agama manusia. Hanya Allah sahaja yang mengetahui kesepaduan agama ini di antara tempat-tempat yang memerlukan diberi kemudahan dan tempat-tempat yang memerlukan dikenakan syarat-syarat yang ketat. Kadang-kadang di sebalik rukhsah terdapat muslihat yang tidak dapat dicapai tanpanya, malah pastilah diberikan rukhsah.

Oleh sebab itulah Rasulullah saw menyuruh orang-orang Islam menggunakan rukhsah/kemudahan-kemudahan yang diberikan Allah kepada meraka.

Dan andainya berlaku kerosakan akhlak orang ramai dalam sesuatu generasi manusia, maka cara mengislahkan mereka tidak boleh dilakukan dengan cara mengetatkan dan memberatkan hukum, malah haruslah dilakukan dengan cara mengislahkan didikan mereka, membaiki hati mereka dan menghidupkan sedaran taqwa di dalam jiwa mereka.

Jika langkah mengenakan hukum-hukum yang ketat dan berat dalam hukum-hukum muamalat itu boleh dijadikan langkah pengubatan yang berkesan dan memenjarakan ketika berlaku kerosakan akhlak di kalangan orang ramai, juga boleh menutup pintu kejahatan.

Namun cara ini tidak boleh dilakukan dalam perkara-perkara ibadat, kerana ibadat merupakan suatu perkiraan di antara hamba dengan Allah di mana muslihat-muslihat hamba tidak bergantung secara langsung dengan hukum-hukum ibadat itu seperti bergantungnya muslihat-muslihat mereka dengan hukum-hukum muamalat yang dijaga dan dikawal aspeknya yang zahir, sedangkan aspek yang zahir di dalam amal-amal ibadat itu tidak memberi apa-apa faedah selagi ibadat itu tidak ditegakkan di atas hati yang bertaqwa.

Andainya taqwa itu wujud (di dalam hati) maka tiada seorang pun yang akan mengelakkan dirinya (dari menunaikan ibadat) dan tiada seorang pun akan menggunakan rukhsah (meninggalkan ibadat) kecuali apabila direlakan hati nuraninya dan dilihatnya sebagai langkah yang lebih baik, iaitu ia merasa bahawa ia dapat melakukan ketaatan kepada Allah dengan menggunakan rukhsah dalam keadaan yang sedang dihadapinya itu.

Adapun langkah mengetat dan memberatkan hukum-hukum secara umum dalam bidang amal ibadat atau kecenderungan mengetatkan kebebasan menggunakan rukhsah yang dijelaskan secara umum oleh nas-nas itu kadang-kadang menimbulkan kesulitan dan kesukaran kepada setengah-setengah orang yang sedang berada di dalam kesulitan, dan dalam waktu yang sama tidak memberi banyak faedah kepada orang-orang yang mahu melepaskan diri dari kewajipan-kewajipan beribadat.

Yang wajar dalam segala keadaan ialah kita menerima hukum-hukum itu mengikut bagaimana gambaran yang dikehendaki Allah di dalam agama ini, kerana Allah lebih bijaksana dan lebih arif dengan muslihat-muslihat yang jauh dan dekat yang wujud di sebalik hukum-hukum rukhsah dan hukum-hukum azimah/kepastian.

Inilah intisari huraian dalam pembicaraan ini.

Tinggal lagi kita mahu sebutkan di sini (insya allah dalam entri akan datang) setengah-setengah hadis yang diriwayatkan mengenai beberapa keadaan persafiran, di mana setengah-setengah hadis itu menyuruh berbuka dan setengah-setengah pula tidak melarangkan berpuasa. Himpunan hadis-hadis ini mendokong kefahaman yang dipegang oleh angkatan salafus-soleh mengenai perkara ini sebelum hukum-hukum itu mengambil bentuk kajian fiqhiyah yang rumit di tangan para fuqaha mutakhir. Gambaran perjalanan angkatan salafus-soleh ridhwanullahi alaihim lebih dinamis dan lebih sebati dengan roh dan tabiah agama ini dari hasil-hasil kajian fiqhiyah itu. Hidup dengan gambaran kefahaman angkatan salaf dan dalam suasananya menimbulkan di dalam hati satu rasa yang hidup bagi agama ini dan ciri-cirinya.

Hadis-hadis tersebut pada keseluruhannya menyarankan supaya menerima rukhsah berbuka dalam persafiran dengan lapang dada dan selesa, dan supaya mentarjihkan mengambil rukhsah itu, dan tidak disyaratkan berlakunya kesulitan dan kesukaran untuk mengambil rukhsah itu.

Kalaupun ada hadis yang menyebutkan hanya Rasulullah saw seorang sahaja bersama bersama Abdullah bin Rawahah yang terus berbuka sekali walaupun di sana ada kesulitan dan kesukaran, maka sememangnya Rasulullah saw itu mempunyai hak-hak keistimewaan di dalam ibadat yang dikecualikan sahabat-sahabat beliau darinya seperti beliau melarang mereka menyambung puasa hari ini dengan hari esok tanpa berbuka, sedangkan beliau sendiri kadang-kadang menyambung puasa itu dan apabila ditanya oleh sahabat-sahabatnya tentang perkara ini beliau menjawab : “Sesungguhnya aku bukan seperti kamu, kerana aku sentiasa diberi makan dan minum oleh Tuhanku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Yang jelas ada hadis yang menyebutkan beliau saw berbuka puasa dan mengatakan bahawa orang-orang yang tidak berbuka itu adalah orang-orang yang melanggar perintah. Hadis ini adalah sebuah hadis mutakhir pada tahun Penaklukan Mekah, iaitu hadis yang paling baru di antara hadis-hadis yang lain dan paling jelas menunjukkan kepada arah kefahaman yang terpilih.

Gambaran yang timbul di dalam hati di antara berbagai-bagai gambaran hadis-hadis itu ialah di sana terdapat timbang kira terhadap keadaan-keadaan yang wujud dalam kenyataan yang memerlukan kepada suatu arahan yang tertentu sebagaimana biasa berlaku di dalam hadis-hadis yang diriwayatkan mengenai suatu topik umum, di mana kita dapati di dalam hadis-hadis itu berbagai-bagai arahan yang berlainan, kerana Rasulullah itu bertugas mengasuh dan mendidik dan beliau menghadapi berbagai-bagai keadaan yang hidup dan beliau tidak sekali-kali menghadapi keadaan-keadaan ini dengan acuan-acuan yang beku.

Tetapi kesan terakhir yang terdetik di dalam hati mengenai hukum berpuasa di dalam persafiran ialah ia digalakkan berbuka tanpa terikat dengan berlakunya kesulitan dan kesukaran.

Adapun perkara sakit, saya (Sayyid Qutb) tidak menemui apa-apa keterangan selain dari pendapat-pendapat para fuqaha sahaja dan mengikut nas yang zahir ia adalah mutlak, umum iaitu meliputi segala pengidapan yang dapat disifatkan sebagai sakit tanpa menentukan kadar dan jenis kesakitan dan takut bertambah berat.

Tetapi wajib bagi setiap hari yang dibuka di dalam sakit dan dalam persafiran itu diqodhokan sepenuhnya tanpa syarat mualat (berturut-turut) pada hari-hari qodho mengikut pendapat yang lebih kuat.

Saya (Sayyid Qutb) membuat huraian selingan ini bukan dengan tujuan untuk mencebur ke dalam perselisihan-perselisihan fiqhiyah, tetapi untuk menjelaskan satu dasar dalam memahami syi’ar-syi’ar ibadat dan hubungannya yang rapat dengan usaha mewujudkan satu keadaan kesedaran yang menjadi matlamat utamanya. Keadaan kesedaran inilah yang mempengaruhi perilaku orang yang mengerjakan ibadat dan ia juga merupakan tapak asas yang pertama di dalam pendidikan hati nuraninya, kebagusan amal ibadatnya dan keelokkan perilakunya di dalam kehidupan.

Ini dari satu segi dan dari satu segi yang lain pula kita harus menerima agama ini sebagaimana yang dikehendaki Allah, iaitu menerimanya dengan seluruh taklifnya dengan kenuh ketaatan dan taqwa dan menerimanya dengan segala hukum-hukum azimahnya dan rukhsahnya dengan cara yang sepadu dan selaras dan dengan penuh keyakinan kepada Allah dan kepada hikmah kebijaksanaannya dan dengan perasaan taqwa kepadaNya.



Surah az-Zumar : 53-59 – Putus asa.
August 26, 2008, 1:34 am
Filed under: Fi Zilal al-Quran

“Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang telah bertindak melampaui batas terhadap diri mereka sendiri. Janganlah kamu berputus harapan dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah bersedia mengampunkan semua dosa. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun dan Maha Pengasih.”

(az-Zumar : 53)

 

Itulah rahmat Allah yang dapat menampung semua maksiat walau bagiamana besar sekalipun. Itulah seruan Allah mengajak manusia kembali padaNya, iaitu mengajak orang yang melakukan maksiat yang melampaui batas, liar dan meredah begitu jauh di belantara kesesatan kepada harapan dan kepercayaan untuk mendapat keampunan dari Allah kerana Allah Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya dan mengetahui segala kelemahan mereka, juga mengetahui segala faktor-faktor yang mempengaruhi mereka dari dalam jiwa mereka sendiri dan dari luar.

 

Allah mengetahui bahawa syaitan menunggu manusia di setiap tempat untuk menyerang hendap ke atas mereka. Setiap jalan yang dilalui mereka dihalang syaitan, dan syaitan mengemblengkan angkatan tenteranya yang berkuda dan berjalan kaki untuk menyerang mereka. Syaitan bertungkus lumus melaksanakan kerja-kerja jahatnya, dan dia tahu bahawa kejadian manusia itu lemah dan bahawa mereka begitu cepat gugur apabila sahaja terlepas dari tangannya tali hubungannya dengan Allah. Tugas-tugas, kecenderungan-kecenderungan dan keinginan hawa nafsu yang ada di dalam jiwa mereka begitu cepat menyeleweng dan hilang imbangannya. Ini menyebabkan mereka terumbang-ambing di sana sini dan jatuh ke dalam maksiat, sedangkan mereka lemah untuk memelihara dan mengawal imbangan yang baik.

 

Allah mengetahui semua kelemahan ini pada makhluk manusia, kerana itu Dia menghulurkan pertolongan dan meluaskan rahmat kepada mereka. Dan Dia tidak membinasakan manusia dengan sebab maksiat-maksiat mereka sehingga Dia menyediakan segala wasilah (sarana) untuk memperbaiki kesalahan mereka dan membetulkan langkah mereka supaya berjalan di atas jalan yang lurus. Dan apabila mereka terjerumus ke dalam maksiat dan melakukan dosa yang keterlaluan sehingga mereka mengira bahawa mereka telah diusir dari rahmat Allah dan nasib kesudahannya telah berakhir dan tidak dapat kemana-mana lagi, maka di saat-saat putus asa inilah mereka mendengar seruan Ilahi yang lembut dan halus :

 

“Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang telah bertindak melampaui batas terhadap diri mereka sendiri. Janganlah kamu berputus harapan dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah bersedia mengampunkan semua dosa. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun dan Maha Pengasih.”

(az-Zumar : 53)

 

Tiada yang memisahkan di antara orang-orang yang keterlaluan melakukan maksiat, terjerumus dalam dosa, lari dari keselamatan dan mengikut jalan yang sesat. Tiada yang memisahkan di antara mereka dan rahmat Allah yang lembut dan bayangannya yang menyegarkan melainkan hanya bertaubat sahaja, iaitu kembali memasuki pintu taubat yang sentiasa terbuka, di mana tiada pengikut yang akan menahan mereka dan tidak perlu kepada meminta izin untuk memasukinya :

 

“Dan kembalilah kepada Tuhanmu dan serahlah diri kamu kepadaNya sebelum azab menimpa kamu dan selepas itu kamu tidak akan ditolong lagi. Dan ikutilah (al-Quran) sebaik-baik (hidayat) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu sebelum azab menimpa kamu secara mendadak, sedangkan kamu tidak sedar”

(az-Zumar : 54-55)

 

Kembali kepada Allah, menyerahkan diri kepadaNya dan pulang semula kepada bayangan ketaatan dan penyerahan diri yang teduh, inilah sahaja langkah yang perlu untuk mendapat rahmat Allah. Di sana tidak ada upacara-upacara, tidak ada istiadat-istiadat, tidak ada halangan-halangan, tidak ada orang-orang tengah dan tidak ada tukang-tukang syafaat.

 

Itulah hisab secara langsung di antara hamba dan Allah. Dan itulah hubungan  secara langsung antara makhluk dan Khalik.

 

Justeru itu, barang siapa dari orang-orang yang menyeleweng yang ingin kembali kepada Allah, maka silalah kembali.

 

Dan barang siapa dari orang-orang yang sesat yang ingin kembali kepada Allah, maka silalah bertaubat.

 

Sesiapa dari penderhaka-penderhaka yang ingin menyerah diri kepada Allah, sila menyerah.

 

Silalah datang dan masuk, kerana pintu sedang terbuka dan bayangan yang teduh, lembut dan selesa semuanya berada di sebalik pintu ini, di mana tiada pengawal dan tiada pula pemeriksa!

 

Silalah kembali kepada Allah.

 

Silalah bertaubat segera sebelum luput waktu :

 

“… Sebelum azab menimpa kamu dan selepas itu kamu tidak akan di tolong lagi.”

(az-Zumar : 54)

 

Di sini tidak ada penolong, silalah bertaubat segera, kerana waktu tidak terjamin, keputusan Qiamat mungkin telah diambil dan pintu-pintu taubat mungkin ditutup pada bila-bila masa malam dan siang. Silalah kembali kepada Allah dengan segera.

 

“Dan ikutilah (al-Quran) sebaik-baik (hidayat) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu sebelum azab menimpa kamu secara mendadak, sedangkan kamu tidak sedar.”

(az-Zumar : 55)

 

Silalah pulang! Sebelum kamu menyesal kerana terlepas peluang, kerana cuai menunaikan kewajipan terhadap Allah dan kerana mempersenda-sendakan janji Allah :

 

“Supaya jangan ada seseorang pun yang akan bersungut : Alangkah sesalnya aku terhadap perbuatanku yang telah mencuaikan kewajipan terhadap Allah dan sesungguhnya aku dahulunya dari orang-orang yang mempersenda-sendakan (ajaran Allah).”

(az-Zumar : 56)

 

Atau jangan ada orang yang berkata Allah telah menetapkan kesesatan keatasku dan andainya Dia menetapkan hidayat keatasku tentulah aku mendapat hidayat dan bertaqwa :

 

“Atau supaya jangan ada yang berkata : Jika Allah telah memberi hidayat kepadaku tentulah aku termasuk dalam golongan para Muttaqin.”

(az-Zumar : 57)

 

Ini satu dalihan yang tidak berasas kerana peluang sentiasa terbuka. Sarana-sarana hidayat sentiasa ada di hadapan mata dan pintu taubat masih terbuka luas.

 

“Atau supaya jangan ada yang berkata ketika ia melihat azab : Alangkah beruntungnya jika aku dapat pulang semua ke dunia supaya aku termasuk dalam golongan muhsinin.”

(az-Zumar : 58)

 

Ini adalah satu angan-angan yang tidak mungkin dicapai, kerana apabila kehidupan dunia ini tamat, maka ia tidak akan berulang dan kembali lagi. Kini kamu sekalian masih berada di dalam negeri beramal dan berusaha. Ia merupakan peluang tunggal yang tidak berulang sesudah ia tamat dan kamu kelak akan ditanya dengan penuh penghinaan tentang peluang yang disia-siakan kamu itu :

 

“Sebenarnya telah datang kepadamu ayat-ayatKu, lalu engkau dustakannya dan berlagak angkuh dan masuk ke dalam golongan orang-orang yang kafir.”

(az-Zumar : 59)